PSB ONLINE: 12 Februari 2026- Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan sesi bedah buku Tuesdays with Morrie karya Mitch Albom yang disampaikan oleh Cik Husnidatulanis Binti Rosli, pelajar latihan industri. Buku ini mengetengahkan nilai kemanusiaan dan pengajaran hidup melalui perbualan antara seorang profesor yang sedang sakit dan bekas pelajarnya.
P
embentangan ini menyorot inti pati utama buku tersebut, termasuk kepentingan hubungan manusia sebagai sumber makna kehidupan, penerimaan terhadap kematian serta keperluan memperlahankan hidup untuk menghargai perkara kecil dan menikmati kehidupan yang sederhana. Buku ini turut menekankan nilai empati, kasih sayang dan kejujuran diri, di samping mengajak pembaca melepaskan tekanan hidup materialistik dan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar bermakna.
Daripada pelbagai tema tersebut, turut diketengahkan beberapa moral
penting seperti menghargai insan tersayang sebelum terlambat, berani mengakui perasaan sendiri, serta melakukan kebaikan kecil yang mampu memberi impak besar. Beliau menekankan bahawa kehidupan menjadi lebih bermakna apabila kita memilih untuk memberi dan berbuat baik kepada orang lain. Disimpulkan juga bahawa setiap manusia akan mati, namun tidak semua benar-benar ‘hidup’; justeru, kita perlu menjalani kehidupan dengan penuh kesedaran dan nilai kemanusiaan.
PSB akan terus menganjurkan program perkongsian ilmu seperti ini bagi memupuk budaya membaca serta meningkatkan penghayatan terhadap nilai kemanusiaan melalui karya sastera.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail
