
Program yang berlangsung pada pagi Selasa, 26 Ogos 2025 bermula pada jam 8.00 pagi dengan kehadiran penuh Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib bersama seluruh staf perpustakaan yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan terhadap semangat patriotisme negara.

Sebelum acara bermula, sesi regangan diadakan pada jam 8.15 pagi yang diketuai oleh Encik Norhardi Saad. Aktiviti ini bertujuan memanaskan badan serta memastikan semua peserta berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk memulakan briskwalk.
Tepat jam 8.30 pagi, pelepasan rasmi dilakukan oleh Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, menandakan permulaan aktiviti yang dinanti-nantikan. Suasana menjadi lebih meriah apabila para peserta turut membawa bendera Malaysia masing-masing sambil berjalan beramai-ramai mengelilingi laluan yang telah ditetapkan.
Laluan briskwalk kali ini bermula dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah melalui jalan berhampiran School of Computing (SOC), seterusnya melalui Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Tugu Peringatan Sintok untuk sesi bergambar, mengelilingi padang golf, melalui jalan masuk Dewan MAS sebelum kembali semula ke PSB.
Sesi bergambar di Tugu Peringatan Sintok menjadi detik yang paling dinantikan kerana ia melambangkan semangat cintakan tanah air dan menghargai pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah mengorbankan jiwa dan raga demi negara. Jalur Gemilang yang dikibarkan oleh peserta menambahkan lagi suasana meriah dan patriotik sepanjang acara.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebangsaan, malah bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan staf perpustakaan. Aktiviti berjalan pantas yang berlangsung selama kira-kira dua setengah jam ini dilihat sebagai usaha positif untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan kesihatan warga kerja.
Ketua Pustakawan dalam ucapannya menyatakan rasa gembira melihat penyertaan menyeluruh daripada warga perpustakaan dan menekankan pentingnya menerapkan nilai kesihatan, kebersamaan serta semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan.
Acara berakhir pada jam 11.00 pagi dengan suasana ceria dan penuh semangat kekitaan. Para peserta melahirkan rasa puas hati kerana dapat menyertai program yang menggabungkan aktiviti kecergasan, patriotisme dan semangat kebersamaan.

Disediakan oleh : Nur Alia Natasya Mohd Azizul Helmi
Pelajar Latihan Industri
Diploma Pengurusan Maklumat, UiTM Kelantan
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail