“FREE BREAKFAST FOR THE FIRST 100 USERS” DAPAT SAMBUTAN HANGAT

PSB Online: 3 Januari lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) kembali meraikan penggunanya menerusi program pemberian nasi lemak dan teh panas secara percuma kepada seratus pengguna pertama perpustakaan.

Untuk kali ketiga, program “Free Breakfast For The First 100 Users” ini diteruskan lagi bertujuan untuk menarik minat pelajar mengunjungi perpustakaan. Terdahulu, program sebegini telah diadakan pada 27 Julai dan 20 Disember tahun 2022.

Ketua Program, Puan Mazyana Hashim juga merangkap Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna berkata, “program ini juga berhasrat untuk menerapkan sifat kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap kewujudan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PSB, mengeratkan hubungan di antara pengguna dan staf disamping memberi penghargaan kepada komuniti kampus terutamanya dalam aspek khidmat kepada masyarakat”.

Seawal jam 8.30 pagi, pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum mula memasuki bilik Academic Learning Commons untuk menikmati sarapan pagi yang disediakan. Menariknya untuk hari ini, mereka dapat menikmati sarapan di dalam perpustakaan sambil belajar, menyiapkan tugasan dan juga berbincang di bilik khas ini.

Nasi lemak dan teh panas ini merupakan tajaan Ketua Pustakawan PSB, En. Salleh Hudin Mustaffa. Beliau juga berhasrat untuk meneruskan lagi program ini secara berkala sepanjang tahun 2023 dan tahun-tahun seterusnya di samping turut mengalu-alukan sumbangan dana orang ramai untuk membiayai tabung program ini.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias