GUIDE TO GETTING PUBLISHED : KONGSI PANDUAN DAN TIPS PENERBITAN KEPADA PENULIS KARYA ILMIAH

20 Mac 2018 – Bersempena dengan sambutan Hari Bersama Pelanggan 2018, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu Ceramah Guide to Getting Published dengan kerjasama Emerald Publishing Group yang bertempat di Auditorium 2, PSB.

Ceramah Guide to Getting Published ini disampaikan oleh Encik Ben Sng yang merupakan perunding kanan berhubung penerbitan daripada Emerald Publishing Group, Kuala Lumpur. Sejak Januari 2011 lagi beliau telah memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu penulis, editor, pengulas, penyelidik, rakan fakulti dan pelajar pasca siswazah yang berhasrat untuk menerbitkan hasil kajian mereka dalam penerbitan jurnal ilmiah berwasit peringkat antarabangsa. Beliau telah mengendalikan ceramah seperti ini sebanyak lebih 100 sesi dengan pelbagai Pusat Pengajian Tinggi.

Ceramah diadakan adalah bertujuan untuk memberi panduan dan tips mengenai proses penerbitan kepada penulis dan berkongsi pengalaman beliau mengenai kesilapan yang sering dilakukan oleh penulis bermula daripada menghantar artikel sehinggalah terbitnya output hasil kajian mereka. Beliau bukan sahaja memberikan maklumat umum mengenai penerbitan seperti pengarang bersama, kaedah pemilihan jurnal dan penerbit yang betul, etika penerbitan dan lain-lain lagi tetapi juga memaklumkan tatacara dan kaedah penerbitan khusus yang dipraktik oleh Emerald untuk makluman para peserta. Selain itu, Emerald turut menawarkan pelbagai peluang dan platform buat penulis yang berpotensi mahupun yang profesional.

Ceramah ini dihadiri seramai hampir 70 orang yang terdiri daripada staf akademik dan pelajar pasca siswazah. Peserta yang hadir turut memberikan reaksi yang positif melalui pertanyaan yang diajukan kepada penceramah malah amat berminat untuk turut serta dalam memberi pandangan, berkongsi pengalaman dan respon mereka kepada penceramah.

Sesi yang berlangsung hampir 3 jam ini tamat pada jam 1.00 petang dan diakhiri dengan upacara penyampaian cenderamata oleh pihak penganjur kepada Encik Ben Sng sebagai tanda kenang-kenangan.

Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

30total visits,2visits today