LATIHAN KEBAKARAN PSB UUM: 4 MINIT PENENTU KESELAMATAN

PSB ONLINE:18 November 2025 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini melaksanakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) dan Simulasi Pengungsian Bangunan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Latihan ini melibatkan semua pusat tanggungjawab yang berada di bangunan PSB termasuk Unifilm Studio, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Pusat Zakat dan Wakaf UUM serta premis Managers Coffee. Semua warga PSB dan pengguna turut diminta mengosongkan bangunan dan berkumpul di Dataran Perdana sebagai lokasi berkumpul yang ditetapkan.

Menurut Encik Mahmud Jani, Pegawai Bomba Kanan (PBK I) Jabatan Bomba Bukit Kayu Hitam, latihan ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dan memastikan prosedur pengungsian bangunan dapat dilaksanakan dengan teratur sekiranya berlaku kecemasan sebenar. Menurut pihak bomba, masa yang perlu diambil untuk mengosongkan bangunan ialah kira-kira 4 minit, selaras dengan piawaian keselamatan. “Kelewatan boleh menyebabkan penghuni terdedah kepada asap beracun, yang merupakan ancaman utama ketika kebakaran,” katanya.

Selain simulasi pengungsian, pihak bomba turut mengadakan taklimat keselamatan dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api (fire extinguisher). Pegawai Bomba (PB) Encik Nur Affendi Ramli, memberi penerangan tentang cara memadam kebakaran menggunakan teknik “menyapu kiri dan kanan di pangkal api” bagi memastikan api padam sepenuhnya.

Peserta diberi tunjuk ajar tentang cara memegang dan membawa alat pemadam api dengan empat kaedah utama iaitu mengangkat, mengheret, mengendong dan mengusung, serta teknik penggunaan yang betul menggunakan kaedah PASS (Pull, Aim, Squeeze, Sweep).

Latihan ini turut melibatkan beberapa wakil jabatan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi memadam kebakaran, memberi pengalaman praktikal yang amat penting ketika berdepan situasi sebenar.

PSB berharap program ini dapat memperkukuh kerjasama dan kesiapsiagaan semua pihak demi keselamatan warga kampus dan pengunjung.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content