MAJLIS ANUGERAH PENGHARGAAN STAF PSB 2019

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan julung kalinya telah mengadakan Majlis Anugerah Penghargaan Staf PSB 2019 pada 27 Februari 2020 (Khamis) bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB yang lalu.  Majlis ini adalah penganjuran bersama di antara Jawatankuasa Pemandu Kualiti (JKPK) dan Badan Kebajikan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL).

Majlis ini telah bermula seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran staf dan diikuti dengan ketibaan Ketua Pustakawan. Seterusnya, tepat jam 9.00 pagi, sesi bergambar beramai-ramai serta  bacaan doa telah disempurnakan  dan diteruskan pula dengan bacaan ikrar yang dipimpin oleh En. Hisomudin Abdullah. Sejurus selepas itu, En. Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan pula memberikan sedikit ucapan ringkas. Menurut beliau, selain pengiktirafan kepada staf yang telah lama berkhidmat di PSB, majlis ini turut meraikan penerima-penerima anugerah yang bakal mengungguli kategori-kategori yang telah dipertandingkan hasil dari undian semua staf. Beliau juga turut mengambil kesempatan ini untuk berkongsi perkembangan semasa PSB bersama semua staf yang hadir. Setelah itu, majlis berehat sebentar dengan sesi tayangan video yang memaparkan koleksi klip-klip gambar aktiviti terdahulu penganjuran JKPK.

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan acara utama iaitu penyampaian Anugerah Jasa Setia PSB. Anugerah ini telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan dan ianya adalah merupakan Anugerah Khas yang diberikan kepada 27 orang staf yang telah berkhidmat melebihi 20 tahun bersama-sama PSB bertujuan untuk menghargai segala sumbangan dan jasa yang telah diberikan. Seterusnya, majlis diteruskan pula dengan satu lagi acara terbesar majlis iaitu penyampaian Anugerah Penghargaan Staf 2019 yang telah diundi secara atas talian. Sebanyak 7 kategori anugerah telah dipertandingkan antaranya adalah Anugerah Ikon Cemerlang, Anugerah Pro Aktif & Versatile, Anugerah Pemimpin Harapan, Anugerah Inspirasi & Inovasi, Anugerah Staf paling Karismatik , Anugerah Staf Paling Ceria & Mesra serta yang terakhir adalah Anugerah Staf Paling Sempoi. Manakala 2 lagi kategori anugerah adalah Anugerah Khas PSB iaitu Anugerah Jawatankuasa Terbaik yang telah dimenangi oleh Jawatankuasa 5S dan Anugerah Ketua Pustakawan yang diberikan di atas kejayaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), BLINC . Jutaan tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah.

Usai sesi penyampaian anugerah, majlis diteruskan dengan meraikan tetamu jemputan khas PSB iaitu rakan-rakan yang telah meninggalkan PSB kerana bertukar jabatan dan bersara. Satu sesi tayangan video perpisahan juga turut dimainkan dan diikuti dengan penyampaian hadiah perpisahan kepada tetamu jemputan. Di kesempatan ini juga, kesemua tetamu yang hadir turut mengambil peluang bersalam-salaman sebagai tanda perpisahan dengan diiringi oleh selingan dendangan lagu oleh Pn. Maziana Bakar dan En. Abd Nasir Hassan. Ternyata ramai di antara staf yang kelihatan sebak dan sedih di atas perpisahan ini.

Majlis ini bertambah meriah dengan adanya sesi cabutan bertuah sepanjang majlis berlangsung dan ia tamat sekitar jam 11.30 pagi dengan jamuan tengahari.

 

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mat Afrizi  Bin Ismail

Share :