Majlis Gotong-Royong Perdana Semarakkan Budaya EKSA Zon Sintok

PSB ONLINE, 15 Julai 2025 – Bagi menyemarakkan amalan persekitaran kerja yang bersih, sistematik dan kondusif, Zon Sintok telah menganjurkan Majlis Gotong-Royong Perdana EKSA bertempat di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini melibatkan penyertaan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Zon Sintok iaitu Jabatan Hal Ehwal Pelajar, U-Assist, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Pejabat Naib Canselor, Jabatan Bendahari, Pusat Hal Ehwal Kerjasama dan Antarabangsa, Pejabat TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Pejabat TNC Penyelidikan & Inovasi, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Unifilm, Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Komunikasi Korporat, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Jabatan Strategik & Pembangunan Perniagaan, Jabatan Canselori, Jabatan Undang-Undang, Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat serta Muzium Pengurusan UUM yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan merangkap Ketua Zon Sintok. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya nilai kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan suasana kerja yang sistematik dan kondusif bagi meningkatkan produktiviti setiap jabatan , seterusnya menyumbang kepada prestasi universiti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua PTJ yang sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam pelaksanaan inisiatif amalan EKSA di UUM.

Prof. Dr. Che Azlan turut menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja dapat memperindahkan kawasan persekitaran, malah menjadi medan terbaik untuk menyatukan warga kerja dalam satu misi bersama. Beliau turut mencadangkan agar PTJ melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi, seperti program telaah buku atau risensi bahan bacaan yang boleh dikaitkan dengan elemen EKSA, bagi memperkukuh budaya ilmu dalam ruang kerja yang tersusun dan terurus serta menggalakkan inovasi dalam memperbaiki prestasi kerja dalam kalangan staf.

Majlis kali ini merupakan kesinambungan kepada Majlis Pelancaran Go Green EKSA UUM yang telah diadakan pada 27 Mei yang lalu.  Perkara tersebut menandakan komitmen berterusan dalam memupuk budaya persekitaran kerja yang lebih kemas dan produktif serta mengamalkan konsep Go Green di seluruh zon universiti.

Salah satu kemuncak acara ialah penyampaian cenderamata kepada PTJ yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sempena Audit Dalaman EKSA UUM Siri 1/2025. Antara PTJ yang memperoleh markah penuh 100% ialah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) serta U-Assist.

Seterusnya, beberapa PTJ lain turut menerima penghargaan berdasarkan pencapaian cemerlang masing-masing, antaranya yang memperoleh markah 99% termasuk Pejabat Naib Canselor, Jabatan Bendahari, Pusat Hal Ehwal Kerjasama dan Antarabangsa, Pejabat TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Pejabat TNC Penyelidikan & Inovasi, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Unifilm, dan Jabatan Sumber Manusia.

Selain itu, Jabatan Komunikasi Korporat turut menerima penghargaan atas pencapaian 98%, Perpustakaan Sultanah Bahiyah dengan markah 94%, Jabatan Strategik & Pembangunan Perniagaan dan Jabatan Canselori dengan markah 93%, diikuti oleh Jabatan Undang-Undang serta Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (92%) dan Muzium Pengurusan UUM (91%).

Sebagai simbolik semangat gotong-royong, wakil dari setiap zon telah menerima beg plastik hitam sebagai tanda komitmen bersama dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan sekeliling. Langkah ini mencerminkan nilai tanggungjawab dan kerjasama dalam kalangan warga kerja di Zon Sintok.

Majlis turut menyelitkan acara gimik penanaman pokok Jasmin di kawasan Dropzone Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Inisiatif ini menjadi simbol usaha melestarikan kampus dan memperindah persekitaran dengan elemen hijau yang menyegarkan.

Sesi bergambar bersama ahli Zon Sintok telah diadakan sebagai kenangan indah sempena penganjuran program ini. Kemudian, para hadirin bergerak ke kawasan dropzone bagi menyempurnakan aktiviti penanaman pokok yang telah dirancang.

Program Gotong-Royong Perdana ini telah berjaya mengukuhkan lagi semangat kerjasama antara PTJ dan warga Zon Sintok. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap semangat dan budaya amalan EKSA akan terus diamalkan secara konsisten dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih cekap dan harmoni serta berinovasi di Zon Sintok.

Disediakan oleh: Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content