MAJLIS JALINAN KASIH DAN KEMERIAHAN SAMBUTAN AIDILFITRI BERSAMA WARGA PSB 2017

Bahang kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasai oleh semua umat islam di seluruh Malaysia khasnya di Universiti Utara Malaysia (UUM). Oleh yang demikian, Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) telah menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2017 serta Majlis Jalinan Kasih pada 19 Julai 2017 bersamaan 25 Syawal 1438H yang lalu bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Majlis Sambutan Aidilfitri adalah merupakan acara tahunan yang diadakan bertujuan untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri di samping mengeratkan silaturrahim sesama warga PSB. Manakala Majlis Jalinan Kasih turut diadakan bertujuan untuk meraikan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa warga PSB yang telah dan bakal meninggalkan PSB oleh kerana bersara dan berpindah jabatan. Di kesempatan ini juga, semua warga PSB turut mengalu-alukan kedatangan staf-staf baharu yang ditempatkan di PSB dan semoga mereka dapat menjadi sebahagian daripada warga PSB yang cemerlang.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada En. Suparman Sukri selaku Pengerusi BAKAL dan diteruskan dengan ucapan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB merangkap penaung BAKAL. Setelah itu, majlis turut memberi penghormatan kepada Pn. Shukra Shuib, Timbalan Ketua Pustakawan yang bakal bersara pada November 2017 serta turut menjemput staf-staf yang yang dirai untuk memberi sedikit kata-kata akhir kepada semua warga PSB. Sesi penyampaian cenderahati turut disampaikan oleh Ketua Pustakawan. Sesudah itu, semua hadirin dijemput menikmati juadah yang telah disediakan.

Majlis ini bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Semangat dan kerjasama yang erat warga PSB dalam menjayakan majlis ini diharap dapat berterusan dan semoga ianya mampu memberi kekuatan dan kesepakatan sesama warga PSB.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

27total visits,2visits today