MAJLIS MERAIKAN AJK JAMUAN SEMPENA KONVOKESYEN UUM KE-29 SERTA JAMUAN PERPISAHAN STAF BERSARA

Pada 29 Disember 2016 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Penghargaan Ahli Jawatankuasa (AJK) Jamuan Konvokesyen Ke-29 bagi tahun 2016. Majlis yang berlangsung secara sederhana itu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Paras 1, Bangunan Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada jam 11 pagi.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan oleh kesemua 17 orang staf yang terlibat sebagai AJK Jamuan sepanjang Majlis Konvokesyen Ke-29 berlangsung. Kesemua AJK juga telah diberi sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan daripada pihak pengurusan PSB.

Di kesempatan ini juga, majlis turut meraikan seorang staf yang akan bersara iaitu En. Isanuddin Bidin serta seorang pelajar praktikal yang bakal menamatkan latihannya pada tarikh ini. En. Isanuddin Bidin iaitu staf di Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat bakal menamatkan perkhidmatannya di PSB setelah lebih 30 tahun menabur bakti. Beliau yang akan mengikuti kursus bersara selama 3 bulan selepas ini adalah merupakan seorang staf yang amat berdedikasi, cekap serta bertanggungjawab selama perkhidmatannya. Menyingkap kata-kata dalam ucapan terakhirnya di PSB, beliau banyak memberi kata-kata semangat kepada rakan-rakan sejawat serta beberapa cadangan penambahbaikan untuk membawa PSB ke arah yang lebih maju. PSB amat menghargai segala pesanan serta berterima kasih atas segala jasa yang telah dicurahkan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya dan diharap beliau sentiasa beroleh kebahagian, kesejahteraan dan kejayaan dalam apa jua bidang yang bakal diceburinya kelak.

Sepanjang hampir 5 bulan yang lalu, PSB telah menerima kehadiran seorang pelajar praktikal daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam iaitu saudari Masniza Shaari. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah ditempatkan di kesemua bahagian di PSB untuk memberi peluang kepadanya memperoleh ilmu serta pendedahan dalam bidang kepustakawanan. Menurutnya, beliau amat berterima kasih kepada semua warga PSB atas ilmu dan tunjuk ajar yang telah diberikan kepadannya.

Akhir kata, PSB amat menghargai segala jasa yang telah dicurahkan dan semoga beroleh kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi kelak. Terima kasih.

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh : Noraini Alias & Hanie Azyyati Abdul Jamil

104total visits,3visits today