MAJLIS SANJUNGAN BUDI: MENGHARGAI LEGASI DUA PERMATA PSB

PSB ONLINE: 5 November 2025 – Dalam suasana penuh penghargaan dan kasih, Majlis Sanjungan Budi anjuran BAKAL sesi 2025/2027 telah berlangsung dengan jayanya bagi meraikan persaraan dua tokoh penting Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Encik Ku Azhar Ku Saud dan Puan Taherah Mohammad Rejab.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka tirai, diikuti dengan ucapan Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, yang menzahirkan rasa terima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar kedua-dua tokoh kepada dunia kepustakawanan dan pembangunan ilmu di PSB.

Majlis diteruskan dengan tayangan montaj khas yang menyentuh hati, memaparkan perjalanan kerjaya Pn. Taherah sepanjang perkhidmatannya di PSB. Walaupun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan, kehadiran beliau tetap dirasai melalui montaj yang penuh emosi dan kenangan. Puisi khas turut disampaikan oleh Dr. Norashikin Ibrahim dan Aina Syafariza Marzuki, pelajar latihan industri, sebagai tanda penghargaan dan kasih kepada En. Ku Azhar yang diraikan.

En. Ku Azhar Ku Saud, yang akan bersara secara rasmi pada 28 November 2025, diraikan dengan tayangan montaj khas daripada Kumpulan Smart Qit, yang memperlihatkan sumbangan beliau dalam memperkasa budaya ilmu dan inovasi di PSB. Dalam ucapan persaraan beliau, En. Ku Azhar menitipkan pesanan bermakna kepada warga PSB agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan teknologi yang pesat.

“Kita sedang berada dalam era teknologi yang berkembang pantas. Dunia kini bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI), dan kita tidak boleh ketinggalan. Warga PSB harus sentiasa bersedia, terbuka dan berani berubah mengikut arus kemajuan,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus menyumbang ilmu walaupun selepas bersara. “Sekiranya khidmat saya diperlukan untuk perkongsian idea atau sesi bicara buku dan bab penulisan, saya sedia membantu.” tambah beliau, disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah hari lahir kepada semua ahli BAKAL yang lahir dari bulan Mei hingga Disember, sebagai tanda ingatan dan penghargaan. Acara diakhiri dengan jamuan mesra kepada seluruh warga PSB, mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan dan penghargaan dalam kalangan staf.

Majlis ini bukan sekadar acara perpisahan, tetapi satu manifestasi kasih, hormat dan penghargaan terhadap insan-insan yang telah mencurahkan bakti dan ilmu. Ia menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus menyumbang dengan penuh integriti dan semangat inovasi.”Yang pergi meninggalkan legasi, yang tinggal meneruskan aspirasi.”

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content