Membawa Ilmu Melangkaui Rak Buku: PSB Dekati Komuniti

PSB Online: 23 September 2026 – Ilmu bukan sekadar tersimpan di rak buku, sebaliknya perlu dikongsi dan dimanfaatkan. Atas semangat tersebut, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha mendekati komuniti melalui Program USR-KTP (Knowledge Transfer Programme) PSB dengan kerjasama Sekolah Agama At-Toyyibah, Changlun, Kedah.

Salah satu pengisian utama program ialah Sesi Perkongsian Maklumat Perpustakaan yang disampaikan oleh Darina Khairil Anwar, Pustakawan PSB.Dalam sesi tersebut, para pelajar diperkenalkan kepada peranan perpustakaan dan perkhidmatan maklumat, di samping mendapat pendedahan mengenai penggunaan Sistem Pengkelasan Dewey Decimal Classification (DDC).

Perkongsian turut disemarakkan dengan sesi kuiz interaktif yang menjadikan pembelajaran lebih santai, di samping menarik minat pelajar untuk memanfaatkan perpustakaan sebagai sumber rujukan.

Pendekatan ini diharap dapat membuka ruang kepada para pelajar untuk mengenali perpustakaan bukan sekadar sebagai tempat mendapatkan bahan bacaan, tetapi sebagai ruang pembelajaran, penerokaan ilmu dan pembangunan kemahiran mendapatkan maklumat.

Selain perkongsian ilmu, program ini turut diserikan dengan sumbangan kerusi dan meja kepada Sekolah Agama At-Toyyibah bagi menampung keperluan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk para pelajar.

Inisiatif Knowledge Transfer (KTP) ini mencerminkan komitmen PSB dalam mendekatkan kepakaran dan sumber universiti kepada komuniti. Diharapkan jalinan yang terhasil melalui program ini dapat terus berkembang dan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama antara UUM dengan komuniti setempat pada masa akan datang.

 

Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content