MESYUARAT ATAS TALIAN PERTAMA PSB DALAM TEMPOH PKP

31 Mac 2020 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Kerajaan Malaysia bermula 18 Mac 2020 yang lalu telah menyebabkan penutupan hampir kesemua agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, kilang dan lain-lain termasuklah Universiti Utara Malaysia yang diarahkan tutup bagi memerangi wabak Coronavirus atau Covid 19 ini. Oleh itu, satu mesyuarat secara atas talian Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) buat pertama kalinya telah diadakan menerusi aplikasi Cisco Webex.

Mesyuarat ini adalah melibatkan semua Pegawai dan Penolong Pegawai PSB bermula pada jam 3.30 minit petang. Menerusi aplikasi ini, ianya boleh digunakan secara percuma yang hanya memerlukan talian internet yang stabil di samping ianya mampu menghubungkan sebanyak 100 peserta dalam satu masa.

Mesyuarat secara atas talian ini telah dipengerusikan oleh En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan. Antara intipati mesyuarat adalah arahan untuk bekerja dari rumah dan semua staf perlu mengisi laporan aktiviti harian ke dalam Borang Laporan Bekerja Dari Rumah yang telah disediakan untuk dihantar kepada Ketua Unit masing-masing. Laporan ini dikumpul dan dihantar kepada Ketua Bahagian pada setiap hari Khamis.

Perkara yang kedua adalah mengenai pertukaran staf yang berkuat kuasa 1 April 2020 adalah hanya melibatkan pegawai sahaja. Oleh yang demikian, proses pertukaran dan deskripsi kerja bagi pegawai yang terlibat harus dilakukan secara atas talian dan dari semasa ke semasa memandangkan kekurangan yang dialami di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Alhamdulillah, walaupun kaedah mesyuarat ini adalah di luar kebiasaan, namun segala maklumat dan arahan dapat diterima oleh semua staf dengan jelas dan tepat. Selain Cisco Webex, platform seperti Whatsapp juga sememangnya menjadi saluran utama untuk berkomunikasi buat masa ini.

Mesyuarat ini telah berakhir sekitar jam 4.15 minit petang.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias