PEMBENTANGAN PROJEK BANTU HADAPI ALAM PEKERJAAN

29 Mei 2019 – Satu sesi pembentangan projek pelajar praktikal telah diadakan bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Sesi pembentangan ini telah bermula pada jam 9.00 pagi oleh dua orang pelajar praktikal daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal menamatkan latihan praktikum mereka pada 30 Mei 2019. Mereka adalah  Cik Siti Noradiana binti Mohd. Fauzi dan Cik Siti Nuratikah binti Abdul Halim dan penyelia bagi projek ini adalah Pn. Rahimah Ishak iaitu Ketua Bahagian Perolehan.

Tajuk pembentangan projek mereka adalah berkenaan “Analisis Bahan Silibus SLCP (School of Languages, Civilization and Philosophy)”. Antara objektif kajian ini dijalankan adalah untuk membantu PSB mengetahui bilangan bahan rujukan yang ditawarkan dan diperlukan untuk kegunaan pengguna. Selain itu, projek ini juga dapat menganalisis bahan rujukan sedia ada mahupun tiada serta menganalisis bahan kursus sama ada ianya adalah edisi baharu atau edisi lama selain memastikan 100% bahan rujukan utama setiap pusat pengajian wujud di PSB.

Sesi kedua adalah pembentangan kemajuan semasa projek oleh dua orang pelajar praktikum daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang masih lagi menjalani latihan praktikum di PSB iaitu Cik Nurul Amirah Faeza binti Muahamad Jasni dan Cik Siti Aisyah binti Che Di. Projek ini adalah di bawah seliaan En. Suparman Sukri iaitu Ketua Bahagian Koleksi Khas dan Media. Projek   bertajuk “Koleksi Tun M” ini adalah bertujuan untuk menyediakan satu platform atas talian yang boleh dipercayai mengenai pelbagai info mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang ke-7. Antara kandungan bahan di dalam koleksi ini adalah teks ucapan, video dan gambar serta keratan akhbar.

Kesemua projek ini telah dibentangkan di hadapan En. Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan serta Pustakawan PSB dan antara komen positif mengenai sesi pembentangan ini adalah mengenai kurangnya fakta sokongan bagi meyakinkan pendengar untuk bersetuju dengan hasil dapatan projek ini. Komen-komen yang telah diberi ketika sesi ini adalah bertujuan untuk memberi ilmu serta pendedahan kepada kesemua pelajar tersebut dalam menghadapi alam pekerjaan kelak. Semoga kejayaan menanti mereka dalam apa jua bidang yang diceburi nanti. Sesi ini telah berakhir sekitar jam 10.30 pagi seusai sesi penyerahan sijil dan cenderamata serta sampul duit raya oleh Ketua Pustakawan.

Sekian.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

156total visits,5visits today

Share :