TRADISI TADARUS AL-QUR’AN SEMARAKKAN RAMADAN

Sintok –  Ramadan adalah bulan Al-Qur’an dan salah satu perkara penting yang perlu diambil perhatian apabila datangnya bulan Ramadan dan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh setiap umat islam  ialah dengan bertadarus Al-Qur’an. Malahan, Rasulullah S.A.W.  juga turut  bertadarus Al-Qur’an di hadapan  malaikat Jibril a.s  sepanjang bulan Ramadan di mana  baginda  sekurang-kurangnya akan mengkhatamkan Al-Qur’an sekali pada setiap tahun.

Terinspirasi daripada sirah tersebut, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) turut  tidak ketinggalan  menganjurkan  majlis  tadarus Al-Qur’an buat kaum muslimat. Majlis   yang bermula  pada  7 Ramadan  dan ianya berlangsung selama  30 minit  setiap hari bekerja.

Demi mengimarah dan menyemarakkan  lagi  aura majlis  tadarus kali ini, kumpulan tadarus  muslimat PSB  seramai  14 orang ini turut disertai oleh  Cik Nur Darina  binti Khairil Anwar, seorang Pustakawan baharu di PSB. Beliau sebelum ini berkhidmat di Perpustakaan Berjaya  Universiti Kolej , Kuala Lumpur. Selain itu, majlis turut diserikan lagi oleh keterlibatan dua orang  pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sedang menjalani  latihan praktikum di PSB iaitu Cik  Siti  Nuratikah Binti Abdul Halim dan Cik Siti Noradiana  Binti Mohd Fauzi. Mereka berdua adalah pelajar daripada  Fakulti Pengajian Sunnah dengan Pengurusan maklumat.

Menurut peserta tadarus, misi menamatkan bacaan Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadan ini menjadi mudah dan praktikal apabila ianya  dibaca  bersama-sama di dalam beberapa buah kumpulan kecil dan jumlah halamannya dirancang dengan setiap kumpulan diberi Juzuk tertentu mengikut turutan untuk dihabiskan kesemua 30 Juzuk yang ada supaya sasaran menamatkan bacaan Al-Qur’an sekurang-kurangnya sekali sepanjang bulan Ramadan ini dapat dicapai.

Majlis tadarus Al-Qur’an ini adalah majlis yang diadakan setiap tahun dan semoga Ramadan 1440H kali ini  menjadi lebih bermakna  dengan pengisian masa  terluang yang lebih berkualiti dengan  selalu berinteraksi dan bertadabbur Al-Qur’an supaya  ianya menjadi teman kita di waktu hidup dan semoga ianya juga dapat memberi syafaat di hari akhirat kelak. Mudah-mudahan, Insya Allah.

 

Disediakan oleh : Azniza  Binti Ahmad

Gambar oleh :  Ku Safina Ku Ismail dan Noraini  Alias

Share :