PSB ONLINE, 10 Julai 2025 – Nurul Syafika Che Zin, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), bakal menamatkan latihan industrinya pada 17 Julai 2025 di Bahagian Komunikasi Korporat, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM.
Beliau memulakan latihan industri pada 16 Mac 2025 selama 18 minggu dan telah melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti serta tugasan yang dijalankan di bahagian tersebut. Sepanjang tempoh itu, beliau diberi pendedahan secara langsung terhadap operasi komunikasi organisasi dan kerja-kerja pengurusan berkaitan hal ehwal korporat perpustakaan.
Antara tugasan utama beliau termasuklah membantu dalam penyediaan bahan promosi, penulisan artikel, laporan serta pengurusan kandungan untuk media sosial rasmi PSB. Selain itu, pengurusan lawatan daripada pelawat luar negara juga turut didedahkan sepanjang berada di bahagian ini. Nurul Syafika menunjukkan kebolehan dalam kerja berpasukan serta kecekapan dalam penggunaan perisian Microsoft Word, Excel dan Canva bagi tujuan dokumentasi serta memberikan promosi dan penulisan berita berkaitan aktiviti dan program Perpustakaan.

Menurut beliau, pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di PSB amat bermakna dan membuka mata beliau terhadap dunia sebenar kerja dalam bidang komunikasi korporat. Beliau menyatakan bahawa persekitaran kerja yang kondusif dan mesra turut membantu meningkatkan keyakinan diri serta keberanian untuk mengemukakan idea-idea baharu secara profesional.
“Latihan industri ini bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, tetapi ia benar-benar membina jati diri saya sebagai bakal graduan dalam bidang komunikasi. Saya banyak belajar tentang pengurusan komunikasi organisasi, serta bagaimana sesebuah institusi menjalin hubungan yang baik dengan pelbagai pihak berkepentingan,” ujar Nurul Syafika.

Sepanjang menjalani latihan, beliau juga berpeluang menghadiri beberapa sesi pembentangan dan program anjuran jabatan, yang memberikan beliau gambaran jelas tentang prosedur kerja sebenar. Beliau turut memanfaatkan ilmu yang diperoleh melalui kursus seperti Teknik Asas Penulisan Berita yang disampaikan oleh Dr Azahar Kasim dalam melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.
Puan Hasma Haji Harun, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat yang juga merupakan penyelia sepanjang latihan industri tersebut, menyifatkan beliau sebagai pelajar yang berdedikasi, cepat belajar dan sentiasa bersikap positif terhadap sebarang tugasan yang diberikan. Keprihatinan beliau terhadap kualiti kerja serta kesungguhan dalam menyiapkan tugasan dan latihan diberi boleh mematangkan beliau untuk menghadapi dunia pekerjan setelah bergraduasi nanti.

Nurul Syafika turut menyatakan hasrat untuk menyambung kerjaya dalam bidang komunikasi korporat selepas tamat pengajian, dan berharap segala pengalaman yang ditimba di PSB menjadi asas kukuh untuknya melangkah ke alam pekerjaan sebenar dengan lebih bersedia dan yakin.
Beliau juga berasa bertuah kerana berpeluang menjalani latihan industri di bawah bimbingan individu yang berpengalaman serta berada dalam suasana kerja yang menyokong pertumbuhan kemahiran profesional dan personaliti diri.
Pihak PSB merakamkan penghargaan atas sumbangan yang telah diberikan oleh Nurul Syafika sepanjang tempoh latihan industrinya. Semoga beliau terus cemerlang dalam akademik dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang.
Disediakan oleh : Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail