PENGHAYATAN AUTOBIOGRAFI DETIK DETIK DIRI DI DAERAH DAIF TINGKATKAN APRESIASI KESUSASTERAAN NEGARA

PSB ONLINE:  29 Januari 2026 – Sebuah sesi wacana ilmiah berteraskan kesusasteraan telah diadakan hari ini bagi membicarakan secara mendalam karya autobiografi “Detik‑Detik Diri di Daerah Daif”, hasil penulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang dibicarakan oleh Puan Farhana binti Abdul Wahab. Buku ini terkenal dengan pengungkapan jujur penulis mengenai pengalaman hidup, suasana masyarakat desa serta akar kreativiti yang membentuk karya‑karya beliau.

Dalam pembentangan tersebut, pembicara menegaskan bahawa bahawa buku ini bukan sekadar memoir, tetapi turut berfungsi sebagai sebuah dokumen sosial yang merakam denyut nadi masyarakat Banggul Derdap, yang digambarkan sebagai komuniti daif namun kaya dengan nilai gotong‑royong, kemanusiaan dan kebersamaan. Gaya penceritaan Shahnon yang telus dan menyentuh emosi membawa pembaca menyelami pergelutan batin, kenangan zaman kanak‑kanak serta hubungan mendalam beliau dengan keluarga dan kampung halaman.

Menurut pembicara, pengiktirafan autobiografi sebagai medium kesusasteraan yang serius adalah penting kerana ia berupaya merakam pengalaman individu sebagai cerminan realiti sosial yang lebih luas, sekali gus memperkayakan khazanah sastera negara.

Program ini secara keseluruhan berjaya menghidupkan kembali ketokohan Shahnon Ahmad dan mengukuhkan kedudukan Detik‑Detik Diri di Daerah Daif sebagai karya penting yang wajar terus dibaca oleh generasi masa kini dan akan datang.

 

 

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content