PERAGAAN BUSANA MERDEKA SI CILIK SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-61

19 Ogos 2018 –  “Sayangi Malaysiaku” merupakan tema bagi sambutan 61 tahun kemerdekaan tanah air yang bakal disambut oleh rakyat Malaysia tidak lama lagi. Oleh itu, bagi menzahirkan semangat patriotisme ini, Bahagian Sirkulasi Dan Perkhidmatan Pembaca, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu pertandingan kemerdekaan iaitu “Pertandingan Pakaian Beragam Merdeka” bermula pada jam 9.00 pagi bertempat di Foyer Bangunan Utama PSB.

Pertandingan ini telah berjaya menarik minat seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur di antara 5 hingga 11 tahun. Kesemua peserta adalah diwajibkan untuk berpakaian yang bertemakan “Merdeka dan Patriotik. Sebelum bermula, sedikit ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Encik Norhardi Saad, Pustakawan Kanan Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Setelah itu, sesi peragaan pakaian beragam merdeka dimulakan dengan 10 peserta pertama sebelum semua hadirin berehat sebentar dengan dihiburkan oleh nyanyian solo lagu kemerdekaan.  Kemudian, acara peragaan kembali diteruskan dengan 10 peserta lagi.

Penganjuran program seperti ini telah berjaya menonjolkan kreativiti peserta dengan kepelbagaian fesyen rekaan yang diperagakan. Ini kerana kesemua 20 busana yang diperagakan adalah terdiri daripada busana moden, kontemporari serta tradisional dan tidak kurang juga yang berpakaian seperti perajurit bagi memaparkan watak patriotisme. Dalam pada masa yang sama, pelbagai gaya peragaan dan ragam si cilik yang mencuit hati turut menggamatkan lagi suasana. Sementara menunggu keputusan diumumkan, hadirin turut dihiburkan dengan acara selingan bercerita dan nyanyian beramai-ramai lagu keramat “Tanggal 31” sambil mengibarkan jalur gemilang di atas pentas dan diikuti dengan kuiz berkaitan dengan Hari Kemerdekaan.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing telah membawa pulang hamper berserta sijil manakala peserta yang kurang bernasib baik turut diraikan dengan menerima hadiah saguhati dan juga sijil. Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Pn. Rahimah Ishak, Pustakawan Kanan Bahagian Perolehan. Sebelum berakhir, program diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada para juri jemputan iaitu Cik Mazyana Hashim dan En. Ku Rosyidi Ku Md Razi dan juga sesi bergambar bersama para peserta sebelum program berakhir sekitar jam 11.00 pagi.

Sinonim dengan pepatah “tak kenal maka tak cinta”, maka rancaknya sambutan hari kemerdekaan tanah air kita walau dengan cara apa sekalipun adalah seperti suatu kewajipan untuk ditunaikan oleh kita demi menyemai rasa kecintaan generasi akan datang terhadap negara agar mereka dapat merasai pengalaman peritnya menuntut kemerdekaan di samping memupuk semangat patriotik dan cinta akan negara.

Disediakan oleh: Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

82total visits,4visits today