LAMAN SESAWANG PSB BAKAL BERWAJAH BAHARU

Taklimat pengenalan laman sesawang baharu Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 15 Ogos 2018 bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB. Taklimat ini bermula pada jam 9.00 pagi dan telah disampaikan oleh En. Ku Azhar Ku Saud, Pustakawan Kanan yang juga merupakan Ketua Bahagian E-Perpustakaan, PSB.

Antara objektif utama taklimat ini adalah untuk memperkenalkan laman sesawang yang baharu kepada semua Pustakawan PSB di samping mendapatkan pandangan serta maklum balas mereka bagi tujuan penambahbaikan. Menurut En. Ku Azhar, laman sesawang ini bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu sebelum pendaftaran kemasukan pelajar baharu yang dijangka pada 3 September 2018 nanti. Semasa  sesi penerangan, En. Ku Azhar menekankan beberapa ciri-ciri utama yang telah ditambahbaik serta kewujudan fungsi baharu untuk memudahkan proses penyampaian perkhidmatan PSB kepada pengguna. Antara perkara baharu yang diwujudkan adalah fungsi tempahan auditorium secara atas talian serta cadangan perolehan bahan perpustakaan. Selain itu juga, laman sesawang baharu ini banyak menitikberatkan faktor khusus untuk memenuhi keperluan pengguna. Ini kerana, secara atas talian, pengguna boleh membuat temujanji untuk berjumpa dengan Pegawai Rujukan pilihan mereka mengikut jadual yang telah ditetapkan dan lain-lain lagi. Justeru itu, fungsi ini membantu bahagian-bahagian yang terlibat untuk menyampaikan perkhidmatan mereka dengan lebih efektif.

Sejurus selepas itu, satu sesi refreshment mengenai pangkalan data Scopus juga turut disampaikan oleh Cik Mazyana Hashim, Ketua Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat kepada semua pustakawan yang hadir. Di sini, beliau berkongsi mengenai kaedah memuat turun Scopus Source Lists yang dapat membantu semua Pustakawan ketika bertugas di Kaunter Information Desk nanti. Selain itu, Cik Mazyana turut berkongsi beberapa soalan yang sering ditanya oleh pengguna mengenai pangkalan data Scopus antaranya adalah mengenai status pengindeksan jurnal di dalam Scopus, maklumat quartile, author id dan beberapa perkara lain lagi. Turut hadir ke taklimat ini adalah Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Muhammad Mazlan Jalla.

Taklimat berakhir dengan sesi soal jawab sekitar jam 11.00 pagi.

38total visits,2visits today