PERTANDINGAN PIDATO TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI PELAJAR BERKOMUNIKASI

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu Pertandingan Pidato sempena Hari Bertemu Pelanggan Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Pesta Buku Utara Discover UUM 2016 bertempat di Auditorium 1, PSB. Pertandingan ini disertai oleh 10 orang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS), Kedah. Terdapat lima topik yang diperbahaskan dalam pertandingan ini antaranya peranan belia, isu-isu semasa seperti ekonomi, media sosial, alam sekitar dan isu perpaduan.

Pertandingan ini diadili oleh 2 orang juri jemputan iaitu Dr. Nor Hasimah binti Ismail dan Dr. Mashetoh binti Abd. Mutalib,  Pensyarah daripada Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML). Program ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri peserta untuk berucap di hadapan umum serta dapat meluaskan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang serta memupuk minat membaca bagi generasi muda khususnya kerana mereka merupakan golongan yang bakal memimpin dan membangunkan negara pada masa hadapan.

Nor Afrina Sahubar Ali muncul sebagai Johan selepas menyampaikan pidato dengan penuh semangat dan berkeyakinan. Tempat kedua dimenangi oleh Putri Andriani Roslan dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Nor Tasnim Abdul Halim .

Pertandingan ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari serta hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Cik Nor Allia Askandar, Pustakawan PSB dan wakil pempamir Buku Pesta Buku Utara 2016.

Oleh: Isanuddin Bidin

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

49total visits,2visits today