PROGRAM BEDAH BUKU PSB KUPAS MESEJ KEKAYAAN MINDA

PSB ONLINE: 23 Oktober 2025 – Program Bedah Buku anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini bertempat di Auditorium 1 PSB. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu mengetengahkan karya terkenal ‘Rich Dad Poor Dad’ hasil tulisan Robert Kiyosaki dan Sharon Lechter.

Pembicara pada kali ini, En Muhammad Hakiim Mohd Fadzil, membuka sesi dengan mengupas latar belakang penulis serta latar belakang penerbitan buku yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1997. Buku ini telah menjadi rujukan utama dalam bidang kewangan peribadi dan pembangunan minda kekayaan.

Antara mesej utama yang diketengahkan ialah: “Yang menjadikan kita kaya atau miskin bukanlah pendapatan, tetapi minda dan cara berfikir.” Kata-kata ini menjadi asas kepada keseluruhan isi kandungan buku yang menekankan kepentingan pendidikan kewangan dan pemikiran strategik dalam mengurus kewangan.

Buku ini membandingkan dua figura ayah: ‘Rich Dad’ yang mengajar tentang pelaburan dan pengurusan kewangan, dan ‘Poor Dad’ yang menekankan pendidikan formal dan pekerjaan tetap.  Penekanan utama buku ini ialah pentingnya literasi kewangan dan bagaimana minda serta cara berfikir mempengaruhi status kewangan seseorang.

Buku ini turut memperkenalkan konsep ‘Cashflow Quadrant’ yang membahagikan individu kepada empat golongan berdasarkan sumber pendapatan mereka:

  • E – Employee (Pekerja)
  • S – Self-employed (Bekerja sendiri)
  • B – Business owner (Pemilik perniagaan)
  • I – Investor (Pelabur)

Pembicara turut menjelaskan perbezaan penyata pendapatan bagi tiga golongan utama:

  • Golongan Low Class: Pendapatan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan harian tanpa simpanan atau pelaburan.
  • Golongan Middle Class: Pendapatan digunakan untuk membayar liabiliti seperti pinjaman rumah dan kereta, dengan simpanan yang terhad.
  • Golongan Rich Class: Pendapatan dijana melalui aset seperti pelaburan dan perniagaan, yang menghasilkan aliran tunai berterusan.

Beliau turut menegaskan betapa pentingnya untuk mengumpul aset dan bukan liabiliti. Beliau menekankan bahawa perubahan minda dan strategi kewangan adalah kunci kepada kebebasan kewangan.

Kesimpulan daripada buku ‘Rich Dad Poor Dad’ menyeru pembaca agar berfikir seperti golongan kaya, iaitu dengan membina aset, meningkatkan literasi kewangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan tetap. Buku ini menjadi inspirasi kepada ramai individu untuk mengubah cara mereka melihat dan mengurus wang.

Disedikan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content