PSB ONLINE: 21-22 Okt 2025- Program Minggu Akses Terbuka Antarabangsa Peringkat Universiti Awam Malaysia 2025 telah dianjurkan oleh Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik pada 21 hingga 22 Oktober 2025 secara dalam talian melalui platform YouTube dan Facebook. Bertemakan “Siapa Menguasai Ilmu Kita?”, program tahunan ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan perkongsian ilmu tanpa sempadan dan sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan akses terbuka dalam dunia akademik dan penyelidikan Ia menyeru seluruh warga akademik dan masyarakat dunia untuk bersama memperjuangkan budaya keterbukaan ilmu, agar pengetahuan dapat dikongsi, difahami dan dimanfaatkan bersama oleh semua lapisan masyarakat.
Pada hari pertama, 21 Oktober 2025 (Selasa), program dimulakan dengan majlis pelancaran sambutan pada jam 8.45 pagi oleh Datin Nor Azzah binti Momin, Ketua Pustakawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Pengerusi MKPUA. Sesi ini menandakan permulaan kepada kempen kesedaran nasional berhubung hak milik ilmu dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan universiti awam di Malaysia.
Seterusnya, pada jam 9.00 pagi, diteruskan dengan pembentangan bertajuk “Pelaksanaan Dasar Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia” oleh Pn. Zaharah binti Abd Samad, Ketua Pustakawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Beliau menghuraikan langkah dan dasar yang diambil oleh universiti awam dalam memastikan hasil penyelidikan pascasiswazah dapat diakses secara terbuka untuk manfaat masyarakat dan komuniti akademik.
Sesi Online Talk 1 yang bermula pada jam 9.40 pagi menampilkan Prof. Dr. Shaliza binti Ibrahim FA Sc, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sains Terbuka Malaysia, Akademi Sains Malaysia (ASM). Beliau membincangkan topik “Ilmu sebagai Hak Awam: Pendemokrasian Penyelidikan Abad ke-21”, yang menekankan kepentingan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai hak semua orang melalui dasar sains terbuka dan penyelidikan
Kemudian, pada jam 11.10 pagi, berlangsung Sesi Online Talk 2 bertajuk “Peranan AI dalam Membentuk Akses Terbuka” oleh Prof. Dr. Mohd Shahir Shamsir bin Omar, Presiden Persatuan Pengurus Inovasi dan Teknologi Malaysia (ITMA). Sesi ini menyoroti bagaimana kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan untuk memperluas capaian ilmu, memudahkan pengurusan data terbuka, dan mengoptimumkan sistem penyelidikan dalam konteks digital.
Pada hari kedua, 22 Oktober 2025 (Rabu), program dimulakan dengan satu Forum khas bertajuk “Akses Terbuka, Data Terbuka dan Masa Depan Harta Intelek dalam Pendidikan Tinggi” pada jam 9.30 pagi. Forum ini menampilkan tiga ahli panel iaitu Prof. Ts. Dr. Rosziati binti Ibrahim dari UTHM, Prof. Madya Dr. Yanti Idaya Aspura binti Mohd Khalid dari UM, dan Dr. Mohd Syaufiq bin Abdul Latif dari MyIPO. Forum ini memberi tumpuan kepada peranan data terbuka dalam pendidikan tinggi serta isu pemilikan harta intelek yang timbul apabila ilmu dikongsi secara bebas di alam maya.
Program diteruskan dengan sesi yang terakhir iaitu Sesi Online Talk 3 pada jam 11.10 pagi bertajuk “Open Access Publishing Trends in Malaysia” oleh Dr. Wong Woei Fuh , Manager iGroup Asia. Sesi ini membincangkan trend penerbitan akses terbuka di Malaysia, termasuk cabaran, peluang, serta potensi kolaborasi antara penerbit, penyelidik, dan institusi pendidikan tinggi dalam mendukung amalan akses ilmu tanpa batas.
Sepanjang dua hari penganjuran, program ini berjaya menarik penyertaan meluas daripada warga akademik, pustakawan, penyelidik serta pelajar pascasiswazah dari seluruh negara. Peluang untuk berinteraksi secara sesi soal jawab (QnA) di setiap akhir pembentangan dapat menjadikan perbincangan yang dijalankan bukan sahaja memperkukuh
kefahaman tentang akses terbuka, malah memperluas jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan dan pihak berkepentingan.
Secara keseluruhannya, Minggu Akses Terbuka Antarabangsa 2025 berperanan penting dalam memperkukuh kefahaman tentang kepentingan akses terbuka sebagai tonggak pembangunan ilmu dan penyelidikan negara. Program ini turut mendorong universiti awam di Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memacu agenda keterbukaan ilmu di peringkat global serta memastikan ilmu menjadi milik bersama untuk kemajuan sejagat.
Disediakan oleh:
Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Cawangan Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail