PSB ANJUR PERTANDINGAN DEKORASI MAKANAN ERA PRA-KEMERDEKAAN

29 Ogos 2019 – Bertempat di Foyer Auditorium 2, Bangunan Tambahan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), satu Pertandingan Dekorasi Makanan Era Sebelum Merdeka telah diadakan dengan jayanya. Pertandingan ini adalah anjuran Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca, PSB.

Tujuan utama pertandingan ini diadakan adalah bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan yang menjelang tiba di samping mengimbau nostalgia serta memperkenalkan semula aneka juadah tradisional era sebelum merdeka yang menjadi makanan ruji penduduk Tanah Melayu khasnya bagi kaum Melayu. Pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan penyertaan syang agak menggalakkan. Kesemua 9 kumpulan yang bertandingan adalah mewakili bahagian masing-masing yang terdiri daripada 3 orang peserta bagi setiap kumpulan. Antara kumpulan yang bertanding adalah kumpulan Puspawangi, Kuntum, Unity, Jonet Merdeka, Cik Siti Wan Kembang, Sri Perolehan, Embun Malaya, Walinong Sari dan Melor. Sesuai dengan nama yang klasik begitu juga penampilan ahli peserta yang kelihatan ayu dan segak dengan kebanyakkannya mengenakan busana tradisional seperti berbaju kurung dan berkain batik, bertanjak serta bersongket.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Puan Asmaniza Mansor, Ketua Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Sebelum pertandingan dimulakan, sebuah sajak kemerdekaan telah dideklamasikan oleh Pn. Ku Safina Ku Ismail selain sebuah penyampaian pantun oleh pelajar praktikum turut dipertontonkan bagi memeriahkan majlis. Pertandingan bermula tepat jam 9.30 pagi dan peserta hanya diberi masa sebanyak 15  minit sahaja untuk meyelesaikan dekorasi. Segala peralatan menghias dan juadah adalah dibawa sendiri oleh peserta. Pelbagai jenis juadah makanan tradisional telah dipersembahkan dengan hiasan dekorasi yang begitu menarik sekali ternyata menyerlahkan bakat serta kreativiti setiap peserta yang bertanding.  Antaranya adalah masakan ubi rebus, pulut, emping, nasi jagung dan pelbagai lagi.

Pertandingan ini telah diadili oleh 4 orang juri yang terdiri daripada 2 juri umum dan 2 juri awam. Juri umum adalah terdiri Guru Katering yang dijemput khas daripada Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara. Manakala juri awam pula adalah terdiri daripada mereka yang dipilih khas bagi mengadili pertandingan berdasarkan pengalaman hidup ketika era kemerdekaan dan mereka yang dipilih adalah yang berumur 60 tahun ke atas.  Menurut En. Norhafizi Nordin selaku ketua juri, kesemua peserta telah berjaya mempersembahkan hasil dekorasi yang sangat menarik, namun perbezaaan markah adalah berdasarkan kreativiti peserta mengolah serta membuat makanan tersebut kelihatan lebih menarik dengan menggunakan bahan-bahan asli seperti daun pandan digubah menjadi bunga mawar dan sebagainya. Dengan kriteria tersebut, Kumpulan Puspawangi daripada Bahagian Pemerosesan Teknik telah berjaya menambat hati juri dengan diangkat menjadi pemenang Pertandingan Dekorasi Makanan Era Sebelum Merdeka. Manakala, tempat kedua jatuh kepada Kumpulan Jonet Merdeka daripada Bahagian Koleksi Khas dan Media dan tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan Melor daripada Bahagian Pentadbiran.

Walaupun tidak berjaya mendapat tempat ketiga teratas, semua peserta turut membawa pulang hadiah saguhati sebagai tanda terima kasih atas kesudian menyertai serta memeriahkan majlis. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan kudos kepada pihak penganjur kerana pertandinagn seumpama ini dilihat mampu menaikkan lagi serta meyemarakkan semangat kemerdekaan di jiwa semua warga PSB.

 

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :