PERTANDINGAN ULASAN BUKU SEMPENA KEMPEN READ@UNI

22 Mei 2019 – Satu Pertandingan  Ulasan Buku sempena Kempen Read@Uni telah dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bertempat di Auditorium 1, PSB pada jam 9.00 pagi. Seramai 9 orang peserta yang menyertai pertandingan ini termasuklah 5 orang daripada kategori pelajar dan 4 orang daripada kategori staf.

Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti yang telah direncanakan oleh PSB bagi memeriahkan lagi sambutan Kempen Read@Uni yang telah berlangsung sejak penghujung tahun 2018 lagi. Ia bertujuan menggalakkan lagi minat membaca di kalangan warga kampus Universti Utara Malaysia (UUM) di samping memberi peluang kepada peserta untuk memperolehi pengalaman dan keyakinan dalam menyampaikan ulasan buku mereka di khalayak ramai terutamanya buat golongan pelajar.  Juri jemputan pertandingan yang terlibat adalah Dr. Nor Hasimah Ismail, Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) dan juga Dr. Rafizah Mohd Rawian, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP).

Peserta bagi kategori staf yang telah memenangi tempat pertama adalah Puan Roos Niza Mohd Shariff dengan ulasan buku berjudul “Undang-Undang Perniagaan Di Malaysia”, tempat kedua dimenangi oleh Dr. Khadijah Mohamed dengan ulasan buku berjudul “Legal Research Methodology” dan tempat ketiga disandang oleh Puan Zalinah Ahmad dengan ulasan buku yang berjudul “Globalism and Comparative Public Administration”. Manakala pemenang tempat pertama bagi kategori pelajar dimenangi oleh Encik Husairi Hussin yang mengulas buku berjudul “Cerpen dan Perpaduan Nasional”, pemenang tempat kedua iaitu Cik Tam Jia Yin berkongsi ulasan buku berjudul “Understanding SUKUK” dan akhir sekali Cik Nuramera Rosli pemenang tempat ketiga dengan ulasan buku beliau yang berjudul “Tidak Islamnya Bank Islam”.

Setiap pemenang telah menerima hadiah berupa baucer buku bernilai RM 150, RM130, RM100 bagi tempat pertama, kedua dan ketiga serta sijil penyertaan bagi semua yang terlibat. Program ini tamat pada jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

351total visits,2visits today

Share :