PSB ONLINE: 14 Oktober 2025 – Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) Oran kini melangkah setapak ke hadapan dengan usaha menaik taraf sistem pengurusan pinjaman dan pemulangan buku daripada sistem manual kepada sistem berkomputer. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha sekolah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bahan bacaan serta menyokong penggunaan teknologi dalam kalangan murid dan guru.
Langkah menaik taraf sistem tersebut dijangka dapat memperkemas proses pinjaman buku, mengurangkan kesilapan manual, serta menjimatkan masa warga sekolah. Selain itu, sistem ini turut diharap dapat menggalakkan budaya membaca yang lebih aktif dengan proses pinjaman yang lebih mudah dan efisien.
Dalam usaha menjayakan hasrat ini, pihak sekolah telah mengemukakan permohonan khidmat bantu teknikal kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia. Permohonan tersebut khususnya ditujukan kepada Unit Jaringan Akademik dan Komuniti PSB untuk mendapatkan kepakaran dalam proses pemasangan serta pelaksanaan sistem pinjaman berkomputer itu.
Menurut pihak sekolah, bantuan kepakaran daripada PSB amat diperlukan bagi memastikan sistem baharu dapat berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan operasi PSS. Di samping itu, pengalaman dan kemahiran pasukan teknikal PSB dalam pengurusan perpustakaan digital akan menjadi nilai tambah yang penting dalam menjayakan projek ini.
Permohonan khidmat bantu ini turut dibuat sebagai salah satu persediaan penting menghadapi proses verifikasi Anugerah Khas Peringkat Kebangsaan 2025. SK Oran antara sekolah yang bakal dinilai bagi kategori pengurusan pusat sumber terbaik, justeru pelaksanaan sistem digital ini dilihat sebagai satu kelebihan strategik.
Selain penaiktarafan sistem pinjaman, pihak sekolah turut berhasrat untuk menambah baik ruang dan kemudahan di Rumah Buku SK Oran. Penambahbaikan ini melibatkan penyusunan semula ruang bacaan agar lebih mesra pengguna, menarik dan sesuai dengan keperluan pembelajaran abad ke-21. Ruang yang lebih teratur diharapkan dapat mewujudkan suasana yang kondusif dan menyenangkan untuk murid belajar serta membaca dengan selesa.
Dalam masa yang sama, SK Oran turut merancang untuk mewujudkan satu sudut khas yang dinamakan Sudut Sejarah Sekolah yang akan menempatkan maklumat berkaitan sejarah-sejarah kepada warga sekolah. Sudut Sejarah ini dijangka bukan sahaja menjadi sumber rujukan kepada murid dan guru, malah mampu memupuk rasa bangga serta semangat cinta terhadap negara melalui kisah-kisah sejarah yang telah berlaku di Malaysia dalam kalangan warga SK Oran. Usaha ini turut seiring dengan objektif PSS untuk memperkaya pengalaman pembelajaran melalui bahan bacaan dan maklumat sejarah tempatan.
Melalui tiga objektif utama program ini iaitu menaik taraf sistem pinjaman, menambah baik susun atur ruang dalaman, dan mewujudkan sudut sejarah sekolah, pihak SK Oran optimis bahawa PSS mereka akan dapat beroperasi dengan lebih efisien serta berfungsi sebagai pusat ilmu yang lebih dinamik.
Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada PSB atas kesediaan memberikan sokongan dan kepakaran dalam menjayakan projek berimpak tinggi ini. Kerjasama strategik antara sekolah dan perpustakaan universiti ini menjadi bukti kukuh kepada usaha memperkukuh hubungan komuniti akademik dan pendidikan.
Dengan pelaksanaan sistem pinjaman berkomputer serta pembinaan Sudut Sejarah, PSS SK Oran diyakini mampu menjadi model pusat sumber sekolah yang moden, efisien dan berdaya saing. Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pengurusan bahan bacaan, tetapi juga memperkukuh budaya ilmu dan literasi digital dalam kalangan warga sekolah.
Disediakan oleh: Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah
Gambar oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil