PSB PANJANGKAN “OUTREACH PROGRAM” KEPADA PELAJAR PRA-U

20 Februari 2020 : Bersempena dengan Pesta Buku Utara yang berlangsung dari 16 hingga 20 Februari 2020, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Changlun dalam satu program komuniti bertajuk “Outreach Program: Bengkel Literasi Maklumat Untuk Pelajar Pra-Universiti” dalam usaha memeriahkan sambutan pesta buku tersebut.

Program ini telah melibatkan seramai 40 orang pelajar Tingkatan 6 Atas SMK Changlun bermula jam 10.30 pagi. Program ini adalah berbentuk bengkel literasi maklumat kepada pelajar pra universiti untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai sumber-sumber maklumat atas talian yang percuma serta format penyediaan senarai rujukan bibliografi yang betul. Bengkel seperti ini adalah perkara asas bagi mendedahkan pelajar dalam penulisan ilmiah yang berkualiti serta mengelakkan berlakunya plagiat.

Modul yang diajarkan semasa bengkel tersebut adalah meliputi 4 modul utama iaitu Modul 1 untuk mengenalpasti keperluan dan pencarian maklumat, Modul 2 berkenaan penilaian maklumat, Modul 3 berkenaan pengurusan maklumat dan modul 4 adalah mengenai etika penggunaan maklumat. Bengkel literasi maklumat ini telah disampaikan oleh Pustakawan dan Penolong Pustakawan dari Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat, PSB.

Semoga segala ilmu yang telah dikongsi di dalam program ini dapat memberi manfaat serta persediaan awal kepada semua pelajar terlibat dalam menyesuaikan diri di alam universiti kelak. Program ini berakhir sekitar jam 2.00 petang.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat

Share :