PSB ONLINE: 29 Julai 2025 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu sesi santai dan berinformasi bersama Strategic Knowledge Partners dalam usaha memperkukuh ekosistem ilmu dan penyelidikan universiti. Program ini berlangsung dengan jayanya di PSB dan dihadiri oleh pustakawan, 14 orang pensyarah muda UUM, serta dua orang panel jemputan khas yang berpengalaman dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Panel jemputan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, Pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM, dan Dr. Mohammad Sabri Sinal@Zainal, Timbalan Pengarah (Tugas-tugas Khas dan Piawaian) dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UUM, telah dilantik sebagai Felo PSB oleh Ketua Pustakawan berkuat kuasa mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2027.

Majlis dimulakan dengan kata aluan daripada Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, yang menekankan peranan penting perpustakaan dalam menyokong aspirasi universiti. Beliau menyeru seluruh warga PSB agar terus membantu universiti mencapai matlamatnya, khususnya dalam menghadapi cabaran teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI). “Perpustakaan perlu yakin dan bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran IT dan AI, seiring dengan keyakinan diri untuk meningkatkan pengetahuan serta merealisasikan kehendak pelanggan,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan harapan agar warga akademik dan bukan akademik UUM sentiasa menyokong usaha penambahbaikan perkhidmatan perpustakaan. Sokongan ini boleh dizahirkan melalui cadangan dan pandangan yang membina. Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan perkhidmatan perpustakaan terus relevan dan memenuhi keperluan semasa.


Sesi diteruskan dengan pengenalan ringkas mengenai PSB oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Pn. Rahimah Ishak, sebelum menjemput panel pertama, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan perpustakaan dalam sesebuah universiti dan mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti penyediaan sudut bacaan mesra pengguna di setiap inasis serta memperkukuh hubungan dengan pusat pengajian.
Panel kedua, Dr. Mohammad Sabri Sinal@Zainal, pula mencadangkan penggunaan teknologi chatbot di perpustakaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Beliau turut menyarankan pemerkasaan muzium melalui pameran dinamik yang melibatkan penyertaan dari pusat pengajian di UUM. Antara inisiatif menarik yang dikongsikan ialah Scopus Minder, sistem yang bakal dilancarkan oleh RMC untuk menarik data dari pangkalan Scopus. Beliau juga menekankan kepentingan penggunaan AI secara beretika dan strategik, serta mencadangkan kolaborasi dengan pakar AI dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), UUM. “Jom kita hi-tech, kurangkan stres, guna AI,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara PSB dan Strategic Knowledge Partners melalui sesi pertemuan santai yang berinformasi. Di samping itu, program ini juga berperanan membina persefahaman bersama mengenai peranan serta potensi kolaborasi antara kedua-dua pihak dalam memperkasa ekosistem ilmu dan penyelidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Melalui inisiatif ini, PSB turut meneroka peluang strategik dalam perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti warga universiti, serta mengiktiraf sumbangan Strategic Knowledge Partners sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan ilmu, inovasi dan jaringan profesional.
Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen PSB dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik dan relevan dalam era digital serta memperluas jaringan kerjasama strategik demi kecemerlangan akademik dan penyelidikan di UUM.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail