PSB RAIKAN BULAN KEMERDEKAAN #SAYANGIMALAYSIAKU

PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH, UUM – Tanggal 31 Ogos dan 16 September merupakan tarikh-tarikh keramat bagi negara Malaysia. Hal ini kerana, 31 Ogos menandakan tarikh kebebasan Tanah Melayu daripada penaklukan penjajah manakala 16 September pula merupakan tarikh pengisytiharan penubuhan persekutuan Malaysia. Saban tahun, Malaysia pasti meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini dengan penuh gilang-gemilang bagi terus menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara di segenap lapisan masyarakat.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) juga tidak melepaskan peluang untuk turut memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini. Bertemakan #SayangiMalaysiaku untuk sambutan kali ini, pelbagai jenis program dan akiviti telah dijalankan seperti Tayangan Kemerdekaan iaitu tayangan video-video patriotik, Pertandingan Pakaian Beragam Merdeka iaitu sebuah pertandingan pakaian kanak-kanak yang bertemakan “Merdeka dan Patriotik” yang telah diadakan pada 19 Ogos dan yang terkini adalah panganjuran Hari Stylo Merdeka yang telah berlangsung pada 13 September lalu. Sedikit mengenai Hari Stylo Merdeka ini, ianya adalah sebuah acara yang hanya terbuka kepada staf PSB sahaja dan staf yang paling ‘stylo’ telah diberi hadiah penghargaan berupa sebuah hamper.

Di samping itu juga, dekorasi dalaman PSB juga turut dihiasi dengan panji-panji Jalur Gemilang, satu Sudut Bacaan Kemerdekaan juga turut diwujudkan dan Pameran Sejarah Malaysia telah diadakan bagi menarik minat dan memeriahkan lagi suasana sambutan kemerdekaan kali ini. Tidak terhad dengan itu sahaja,malah, satu “Photo Booth Merdeka ” juga turut  didirikan khas buat para pengunjung PSB untuk bergambar sebagai tanda kenang-kenangan bertemakan kemerdekaan.

Akiviti-aktiviti kemerdekaan ini telah pun bermula sejak 1 Ogos yang lalu dan berakhir pada 16 September 2018. Secara keseluruhannya, walaupun tidak diadakan secara besar-besaran namun, semangat warga PSB serta para peserta yang terlibat dalam beberapa acara pertandingan yang diadakan tetap berkobar-kobar bagi menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara dan Hari Malaysia. Semoga negara Malaysia akan terus dirahmati oleh Allah.

Disediakan oleh : Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

46total visits,5visits today