PSB TERIMA LAWATAN PENANDAARASAN 5S DARI JABATAN BENDAHARI

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB ) telah menerima satu kunjungan lawatan penandaarasan Budaya Amalan Persekitaran Berkualiti  QE/5S dari Jabatan Bendahari Universiti Utara  Malaysia (UUM) pada 5 Ogos 2019 yang lalu.

Seramai 20 kakitangan Jabatan Bendahari telah turut serta dan mereka terdiri daripada Pegawai Kewangan dan Pembantu Tadbir.  Rombongan ini tiba di Foyer PSB pada pukul 2.30 petang dan mereka diketuai oleh Puan Rolelawati Binti Saman. Rombongan ini telah disambut mesra oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S PSB  iaitu Puan Rahimah Ishak dan semua  ahli Jawatankuasa  dan Ketua Zon 5S yang sedia menyambut kedatangan mereka di Pintu Utama Aras 2, PSB.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah sebagai platform untuk bertukar pendapat dan pandangan berkaitan pelaksanaan serta perjalanan semasa amalan persekitaran 5S di jabatan masing-masing sebelum menghadapi audit  5S universiti yang dijangka pada minggu akhir bulan Ogos ini. Pada tahun ini, 5S telah dimasukkan di dalam KPI Teras 2 yang mana setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu mencapai 3 bintang semasa audit Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) bagi memenuhi KPI tersebut.

Delegasi ini telah diberi taklimat ringkas di Bilik Mesyuarat Aras 1 Bangunan Utama  oleh Puan Rahimah mengenai pelaksanaan amalan 5S di PSB. Dalam sesi taklimat ini, semua yang hadir turut mengambil peluang untuk bertukar-tukar idea dan pendapat tentang mencari amalan yang terbaik (best practices) dan komitmen menyeluruh semua staf untuk menjayakan pembudayaan 5S di tempat kerja masing-masing. Selesai taklimat, rombongan telah dibawa melawat beberapa Zon 5S di PSB antaranya adalah Zon Baiduri di aras 5 Bangunan Utama untuk mendapat gambaran yang  lebih dekat dan jelas mengenai pelaksanaan 5S di PSB. Zon ini menyediakan tanaman hijau di pejabat iaitu ‘edible garden’ dan beberapa inovasi sebagai nilai tambah selain  sudut santai  serta  amalan 3R yang turut tersedia. Seterusnya rombongan bergerak ke bangunan tambahan PSB untuk meninjau keadaan sekeliling seperti kaunter, surau, tandas dan makmal komputer dan juga sudut 5S Zon Zamrud.

Lawatan  penandaarasan  ini berakhir pada pukul 4.30 petang dengan sesi bergambar dan bertukar cenderahati sebagai kenang-kenangan dan acara menandatangani buku lawatan pelawat berhampiran Professors Corner PSB . Semoga lawatan ini dapat memberi suntikan semangat dan idea untuk dibawa pulang ke Jabatan Bendahari dan seterusnya meningkatkan lagi  budaya amalan persekitaran kualiti di sana.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Mohamad Fuzi Ismail

Share :