PSB TERIMA LAWATAN PENANDAARASAN DARI USM NIBONG TEBAL

SintokSekitar jam 2.45 petang, 30 Oktober 2019 yang lalu,  Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu lawatan muhibbah dari  kakitangan Perpustakaan Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Pulau Pinang. Lawatan  ini telah melibatkan seramai 22 orang yang terdiri daripada Pustakawan, Pembantu Pustakawan, dan pelajar  yang sedang menjalani praktikum dari UiTM Shah Alam.

Rombongan ini telah disambut mesra oleh delegasi PSB iaitu Puan Sakinah Zainol, Puan Ku Safina Ku Ismail  dan Cik Azniza Ahmad di Foyer PSB. Menurut Puan Arina Wati Ayob iaitu Timbalan Ketua Pustakawan  merangkap ketua lawatan ini, mereka sebenarnya adalah di dalam siri  lawatan penandaarasan ke perpustakaan akademik di utara semenanjung. Oleh itu sebelum berangkat ke Universiti Utara Malaysia (UUM), mereka terlebih dahulu telah berkunjung ke Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada sebelah paginya  dan mengambil kesempatan pulang ke Pulau Pinang, mereka bercadang untuk turut singgah melawat ke PSB, UUM.

Lawatan ini adalah untuk melihat dan berkongsi  amalan terbaik (best practises) yang berkaitan perkhidmatan di perpustakaan IPTA. Fokus utama lawatan ini adalah untuk melihat idea-idea inovatif yang baharu sebagai peluang penambahbaikan perkhidmatan mereka di samping mendorong kakitangan mereka untuk lebih bersemangat serta meningkatkan minat dengan perkembangan baharu dunia kepustakawanan.

Taklimat ringkas mengenai prasarana dan perkhidmatan di PSB telah disampaikan oleh Puan Sakinah Zainol dengan memaklumkan mengenai inovasi terbaharu PSB  iaitu Professors’ Corner. Selesai taklimat berkenaan,  rombongan dibawa melawat ke Bangunan Tambahan PSB untuk melihat inovasi serta amalan pelaksanaan 5S di sekitar Zon Zamrud, Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat, Kaunter Khidmat Pelanggan dan   Koleksi Umum di Aras 1. Atas permintaan, delegasi ini juga telah dibawa ke Sudut Kanak-Kanak bagi melihat perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di situ.

Lawatan berakhir pada jam 4.45 petang dengan sesi bertukar cenderahati dan bergambar untuk tujuan kenang – kenangan.

 

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti  Ahmad

Share :