Santun Profesor Pertama 2026 Tekankan Pengurusan Emosi sebagai Kunci Keharmonian

PSB ONLINE: 24 Jun 2026 – Profesor Dr. Nor Azniza Ishak, Profesor di Jabatan Psikologi, Kaunseling dan Koreksional, Universiti Utara Malaysia (UUM), menegaskan kepentingan pengurusan emosi sebagai kunci kesejahteraan mental dan keharmonian hidup menerusi sebuah ceramah santun yang disampaikan baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman lebih 33 tahun dalam bidang kaunseling menjelaskan bahawa emosi merupakan elemen penting yang mempengaruhi tingkah laku dan kesejahteraan mental, serta perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan kesan negatif dalam kehidupan.

“Emosi ibarat warna-warni kehidupan, namun jika tidak diurus, ia boleh menjadi ‘monster’ yang memusnahkan,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan mengawal emosi boleh membawa kepada konflik dalam hubungan interpersonal termasuk dalam institusi keluarga, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes perceraian, dengan lebih 60,000 kes direkodkan pada tahun 2024, kebanyakannya berpunca daripada isu kecil yang tidak diurus dengan baik.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pengurusan emosi yang baik mampu membantu individu mengawal kemarahan, berkomunikasi secara berhemah serta mengekalkan hubungan sosial yang harmoni.

Prof. Dr. Nor Azniza menegaskan bahawa kesihatan mental yang baik bergantung kepada keupayaan mengurus tekanan, berfikir positif dan membuat keputusan rasional, selain mencadangkan teknik seperti pernafasan, grounding serta pendekatan spiritual bagi mencapai kestabilan emosi dan kesejahteraan hidup.

“Urusan emosi adalah tanggungjawab diri sendiri dan perlu dikawal secara berhemah,” jelas beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Profesor UUM bagi sesi 2025–2027 berharap masyarakat lebih peka terhadap kepentingan kecerdasan emosi dalam membentuk kehidupan yang lebih sejahtera dan harmoni.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content