SESI PERKONGSIAN ILMU PSB : SIRI 1

24 September 2019 – Bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), satu siri perkongsian ilmu kepada semua Pustakawan PSB telah diadakan. Perkongsian ini telah bermula pada jam 2.30 petang.

Objektif utama perkongsian ilmu ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta meningkatkan ilmu dan pengetahuan semua Pustakawan mengenai isu-isu terkini berkaitan dengan bidang kepustakawanan. Selain itu, ilmu yang dikongsikan juga diharap dapat dikongsi bersama dengan staf bawahan bagi melahirkan warga PSB yang berfikiran luas dan berilmu pengetahuan mengenai tren terkini di dalam bidang ini.

Program ini telah dibahagikan kepada 3 sesi dan ianya dimulai oleh En. Salleh Hudin, Ketua Pustakawan dengan perkongsian mengenai Horizon Report 2019. Menurut beliau, laporan ini memaparkan enam trend utama, enam cabaran penting, dan enam perkembangan penting dalam teknologi pendidikan yang telah disenaraikan oleh panel pakar-pakar pemimpin dari seluruh landskap pendidikan tinggi. Laporan ini berfungsi sebagai rujukan dan panduan perancangan teknologi untuk pendidik, pemimpin pengajian tinggi, pentadbir, pembuat dasar, dan ahli teknologi.

Selain ilmu baru mengenai Horizon Report, semua Pustakawan didedahkan pula mengenai sesi perkongsian ilmu seterusnya mengenai Digital Assets Management (DAM) oleh En. Suparman Sukri, Ketua Bahagian Koleksi Khas dan Media. Sedikit mengenai DAM ini, ianya adalah mengenai projek khas mengenai Koleksi Gambar Tun Dr. Mahathir di mana En. Suparman ditugaskan untuk membangunkannya. Pada sesi ini, beliau mengambil peluang untuk berkongsi progress projek tersebut di samping memohon input serta pandangan  daripada semua yang hadir.

Sesi yang ketiga pula telah disampaikan oleh En. Norhardi Saad, Pustakawan daripada Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Beliau telah berkongsi mengenai Open Educational Resources (OER). Menurut beliau, OER   adalah bahan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam pelbagai medium (digital atau sebaliknya), yang berada di domain awam atau telah dikeluarkan di bawah lesen terbuka yang membenarkan akses, penggunaan, penyesuaian dan pengagihan semula tanpa kos oleh orang lain dengan tiada atau sekatan yang terhad.

Segala ilmu yang telah dikongsikan sememangnya adalah sesuatu yang baharu dan amat bertepatan dengan situasi semasa. Semoga segala input yang telah diberikan mampu memantapkan barisan hadapan PSB iaitu semua Pustakawan dalam memberikan servis dan perkhidmatan yang terbaik buat semua pengguna PSB. Program ini tamat sekitar jam 4.30 petang.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias

Share :