SYARAHAN SANTUN PROFESOR SIRI 2: “SINTOK: LUBUK SEJARAH, CITRA MASA DEPAN”

PSB ONLINE: 2 September 2025 – Bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Siri Syarahan Santun Profesor Siri 2 yang bertajuk “Sintok: Lubuk Sejarah, Citra Masa Depan”. Syarahan ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Samihah Khalil@Halim, seorang tokoh akademik yang aktif dalam kajian sejarah dan budaya sempadan.

Syarahan dimulakan dengan penerangan mengenai empat negeri yang bersempadan dengan Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, serta daerah-daerah penting yang membentuk identiti geopolitik kawasan tersebut. Hadirin terdiri daripada wakil Persatuan Sejarah Negeri Perlis, guru dan pelajar dari SMK Changlun, Kedah, pensyarah serta 30 orang pelajar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, dan warga Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Prof. Dr. Samihah membawa peserta menyelami sejarah negeri Kedah dan Perlis melalui teks klasik seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mencerminkan hubungan dinasti Kedah dengan kuasa Siam, British dan lain-lain. Beliau turut menjelaskan transisi sistem pemerintahan dari Mandala kepada Westphalian, yang menandakan perubahan struktur politik dan sempadan moden.

Menurut beliau, Sintok bukan sekadar sebuah kawasan terpencil di perbatasan utara, tetapi pernah menjadi lokasi penting dalam sejarah negara – dari pendudukan Jepun, aktiviti komunis, darurat, hingga menjadi kawasan hitam yang dikawal ketat oleh tentera. Sintok juga terkenal dengan lombong bijih besi dan keberanian anak tempatan dalam mempertahankan wilayah. Pada tahun 1984, kawasan ini mengalami transformasi besar apabila UUM ditubuhkan sebagai kampus tetap hasil inisiatif Tun Dr. Mahathir Mohamad, menjadikan Sintok sebagai pusat ilmu dan pembangunan.

Dalam menjelang sambutan 100 tahun kemerdekaan Malaysia pada tahun 2057, Prof. Dr. Samihah menyeru agar naratif Sintok diperkasa dengan lebih positif.  “Ini yang saya nampak. Kita adalah bandar perbatasan, kawasan perbatasan. Kenapa tidak kita bangkitkan Sintok ini ke kawasan yang arif tentang isu wilayah sempadan?” tambah beliau. Beliau mencadangkan agar Sintok memainkan peranan sebagai pusat kearifan wilayah sempadan, dengan memperkukuh institusi akademik yang membincangkan isu-isu sempadan seperti ITS (Indonesia, Thailand, Singapura).

Sintok juga disaran menjadi ruang aman dan idea, tempat kerohanian, renungan dan inovasi. UUM yang terletak dalam hutan simpan seluas 500,000 hektar mempunyai potensi besar sebagai makmal penyelidikan kemanusiaan, termasuk kajian Islam Kedah-Siam dan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama.

Beliau turut mencadangkan agar Sintok dibangunkan sebagai pusat edu-tourism melalui penubuhan muzium pengurusan UUM, serta projek jangka pendek seperti muzium hidup dan eco-tourism untuk aktiviti riadah dan pemulihan. Infrastruktur sedia ada perlu diperkukuh agar pelajar luar negara dapat menyertai program-program akademik dan pelancongan pendidikan yang ditawarkan oleh UUM.

Syarahan ini diakhiri dengan pesanan penuh makna daripada Prof. Dr. Samihah Khalil@Halim yang menyentuh akar sejarah dan harapan masa depan Sintok. Beliau menegaskan bahawa “Sintok bukan sekadar lubuk sejarah, tetapi cermin refleksi bangsa yang disempadankan. Marilah bersama-sama menukar sejarah sempadan warisan Kedah ke arah citra masa depan yang gemilang.”

Sebagai penutup, beliau turut menyampaikan dua rangkap pantun yang menggambarkan transformasi Sintok dari medan konflik kepada pusat ilmu:

Lembah Sintok disulam sejarah,
Jejak tentera, berganti cendekia,
Daripada luka lahir, anugerah,
UUM berdiri, membina bangsa.

Gunung Jerai masih berdiri,
Menjadi saksi negeri tercinta,
Sintok berkembang membawa erti,
Ilmu budaya senada cinta.

Sesi syarahan turut diserikan dengan tayangan video dan kuiz interaktif yang menguji kefahaman peserta terhadap isi syarahan. Program ini bukan sahaja bersifat ilmiah, tetapi turut menyemarakkan semangat patriotik dan refleksi sejarah, menjadikan Sintok sebagai titik mula kepada naratif masa depan yang lebih gemilang.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content