TAHNIAH! BLINC PSB RAIH TEMPAT KETIGA KONVENSYEN KIK PERINGKAT TERBUKA UUM 2018

Jutaan tahniah diucapkan kepada Kumpulan BLINC (Beyond Library Innovative and Creative) kerana telah berjaya meraih tempat ketiga dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Terbuka Universiti Utara Malaysia (UUM) 2018 pada 15 Mei 2018 yang lalu. Konvensyen ini telah berlangsung selama 2 hari bermula pada 14 hingga 15 Mei 2018 bertempat di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.

Setelah berehat daripada menyertai konvensyen setahun yang lalu, kini PSB kembali memberi saingan sengit dengan memperkenalkan kumpulan baharu iaitu BLINC dengan slogan kata “Kreativiti Pencetus Inovasi”. Kumpulan ini diterajui oleh Pn. Norma Said sebagai Fasilitator dan Pn. Ku Safina Ku Ismail sebagai ketua kumpulan. Dianggotai seramai 7 orang, BLINC telah mengetengahkan projek mereka yang bertajuk “Kelemahan Sistem Penyimpanan dan Pengaksesan Maklumat Peristiwa Universiti Utara Malaysia”.

Menerusi projek ini, impak yang besar terhadap cara kerja yang lebih efektif dan efisien telah berjaya diwujudkan di PSB khususnya di Bahagian Arkib UUM, dengan penggunaan sistem “SURE” yang telah berjaya dijana. System of University & Related Events atau “SURE” merupakan cara penyimpanan dan pengaksesan maklumat peristiwa UUM yang cepat dan mesra pengguna. Melalui sistem ini, banyak maklum balas positif yang diterima daripada pengguna yang terdiri daripada staf dan pelajar. Selain itu juga, En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB, turut memberi pujian dan komen positif kepada Kumpulan BLINC di atas kejayaan menghasilkan projek ini.

Walaubagaimanapun, kecemerlangan projek ini tidak berjaya menambat hati juri dengan kumpulan dari Jabatan UUMIT telah dinobatkan sebagai Juara Konvensyen KIK Peringkat Terbuka UUM 2018 dan tempat kedua pula dimenangi oleh Jabatan School of Computing (SOC). Walau gagal meraih tempat pertama, seluruh warga PSB tetap menganggap BLINC sebagai juara di hati mereka kerana segala kesungguhan dan dedikasi yang dipamerkan telah berjaya menghasilkan kumpulan yang mantap dengan gaya persembahan bersemangat juga projek yang bermanfaat di konvensyen kali ini.

Meraih tempat ketiga, Kumpulan BLINC telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000 beserta sijil penyertaan. Jutaan tahniah diucapkan kepada mereka kerana telah berjaya memberi saingan yang sengit kepada peserta pertandingan dan diharap warga PSB dapat mengambil semangat BLINC untuk terus berdaya kreatif dan inovatif di masa hadapan. Kudos BLINC!

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail dan Sakinah Zainol

54total visits,2visits today