TAKLIMAT PERSEDIAAN AUDIT AKREDITASI AACSB DI PSB

Satu ‘Taklimat Persediaan Audit Akreditasi AACSB’ telah diadakan di Auditorium Bangunan Tambahan, PSB baru-baru ini pada jam 3.00 sehingga 4.30 petang, 2 Mac 2016. Seramai 102 orang staf PSB turut serta dalam taklimat persediaan audit akreditasi AASCB ini. Turut hadir bersama En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan.

UUM akan menerima lawatan selama 4 hari daripada Peer Review Team (PRT) AACSB Accreditation bermula 24 sehingga 27 April 2016. Sehubungan itu, roadshow ini merupakan satu inisiatif Unit Akreditasi AACSB, UUMCOB untuk bertemu dengan semua PTJ di UUM bagi membantu menerangkan fungsi unit terlibat dan memberi pencerahan mengenai kepentingan memperolehi akreditasi AACSB kepada UUM. Selain itu, ia bertujuan untuk mendapatkan kerjasama dan komitmen semua pihak bagi memastikan semua dokumen yang diperlukan bagi persediaan akreditasi AACSB seperti yang digariskan oleh Standard 1-15 (2013) dipatuhi dan disediakan mengikuti keperluan. Taklimat telah disampaikan sendiri oleh Pengarah AACSB iaitu Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin daripada Unit Akreditasi AACSB, UUMCOB.

AACSB International atau The Association to Advance Collegiate Schools of Business yang ditubuhkan pada 1916 adalah badan akreditasi antarabangsa yang tertua untuk sekolah perniagaan di universiti yang menawarkan program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan. Proses akreditasi melibatkan kajian dalaman yang ketat dimana penilaian dan pelarasan akan mengambil tempoh beberapa tahun untuk memenuhi standard yang ditetapkan oleh AACSB International.

Adalah diharapkan agar dengan memperolehi akreditasi ini UUM umumnya akan dapat bersaing dan setanding dengan universiti-universiti terkemuka yang lain di Malaysia ataupun peringkat dunia.

Disediakan oleh : Norashikin Ibrahim | Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

47total visits,1visits today