
PSB ONLINE: 30 September 2025 – Dalam memperingati sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Hiroshima City University, telah menganjurkan program istimewa bertajuk “Bicara Merdeka: Hiroshima 1945 – Tragedi Bom Atom dan Tiga Pelajar Melayu”.
Program ini menampilkan Prof. Madya Dr. Nurhaizal Azam Arif, pensyarah dari Fakulti Pengajian Antarabangsa, Hiroshima City University, Jepun, yang juga merupakan bekas pensyarah di School of International Studies (SOIS), UUM. Beliau berkongsi hasil kajian mendalam mengenai tiga pelajar dari Tanah Melayu yang berada di Hiroshima ketika bom atom dijatuhkan oleh Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945, pukul 8.15 pagi.
Ketiga-tiga pelajar tersebut merupakan penerima biasiswa kerajaan Jepun dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Hiroshima. Mereka ialah:
Abdul Razak Abdul Hamid (Pulau Pinang) – satu-satunya yang terselamat. Beliau dikenali sebagai Razak Sensei, dan berjaya menyelamatkan diri dengan menyelam ke dalam sungai. Sekembalinya ke tanah air, beliau menjadi seorang pendidik yang dihormati.
Nik Yusof Nik Ali (Kota Bharu, Kelantan) – terkorban akibat letupan dan dikebumikan di Kuil Kozenji, Hiroshima.
Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff (Johor) – meninggal dunia akibat radiasi di Hospital Kyoto dan dikebumikan secara Islam dengan bantuan komuniti Jepun.
Ketika tragedi berlaku, mereka berada kira-kira 1.5 kilometer dari pusat letupan bom “Little Boy”, menjadikan mereka antara saksi langsung kepada kemusnahan yang berlaku.
Dr. Nurhaizal menekankan kesan kemanusiaan yang dialami penduduk Hiroshima dan bagaimana tragedi ini menjadi titik tolak kepada gerakan keamanan sejagat. Beliau turut berkongsi usaha beliau mendaftarkan potret pelajar Melayu yang terkorban di Hiroshima National Peace Memorial Hall of Atomic Bomb Victims, agar nama mereka kekal terpahat dalam sejarah dunia.

Beliau juga menghadiri majlis peringatan tahunan di makam Nik Yusof dan Syed Omar yang diadakan oleh masyarakat Jepun setiap tahun pada 6 Ogos, dengan kehadiran alumni Universiti Hiroshima. Majlis tersebut turut disertai dengan tahlil ringkas bersama pelajar Malaysia di sana, sebagai penghormatan kepada warisan negara.
Program turut memperlihatkan video lawatan Tan Sri Dzulkifli, anak kepada Cikgu Razak, ke Hiroshima. Dalam lawatan tersebut, beliau mengunjungi muzium dan beberapa lokasi bersejarah berkaitan tragedi bom atom, serta bertemu buat kali pertama dengan rakan lama ayahnya, Meiko Kurihara, yang pernah menerima surat daripada Cikgu Razak selepas tragedi berlaku.
Matsuda-san, seorang pelukis potret dan mangsa generasi kedua bom atom, telah menghasilkan lukisan potret Syed Omar, Nik Yusof, Cikgu Razak dan Meiko Kurihara. Potret-potret ini pernah dipamerkan di Sokka Gakkai Centre, Pulau Pinang, sebagai simbol penghormatan dan perdamaian.
Menurut beliau “Bagaimana kita mahu membangunkan pemikiran cosmopolitanism dalam masyarakat kita? Ia sangat rapat dengan konsep ummah. Kita tidak melihat agama, bangsa, warna kulit – seperti dalam Surah Al-Hujurat, Allah jadikan kita berbeza untuk kita saling mengenali.”
Dr. Nurhaizal mengakhiri bicara beliau dengan kata-kata yang sangat bermakna buat semua hadirin, “Kenapa belajar sejarah? Kerana sejarah mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan hidup bersama. Bagaimana? Membaca sahaja tidak cukup – kita perlu turun ke lapangan.”
Program ini berlangsung selama dua jam secara langsung melalui platform Webex, dan turut disiarkan serentak di YouTube dan Facebook rasmi PSB. Sambutan hangat daripada warga kampus membuktikan minat mendalam terhadap sejarah dan nilai patriotisme dengan pelbagai soalan diajukan kepada Dr. Nurhaizal sepanjang sesi berlangsung. Para peserta yang hadir secara maya turut menerima e-sijil kehadiran sebagai penghargaan.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Siti Ainsyah Kamis dan Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail