UUM DAN UITM KEDAH PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MELALUI MoA DAN LoI SEMPENA INDELIB 2025

PSB ONLINE: 5 Oktober 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah terus memperkukuh kerjasama dalam bidang perpustakaan dan sains maklumat dengan menandatangani Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersempena penganjuran 7th International Innovation and Design in Library and Information Science (INDELIB 2025).

Majlis menandatangani dokumen tersebut berlangsung di Balai Tamu, UUM, dengan disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof. Dr. Roshima Said.

Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad menyatakan penghargaan kepada UiTM, khususnya Fakulti Sains Maklumat UiTM Kedah yang menjadi peneraju utama penganjuran INDELIB 2025, serta kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan MoA ini.

Beliau menegaskan bahawa MoA ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh bidang kepustakawanan melalui pendekatan inovatif dan kolaboratif. Berdasarkan perjanjian, UiTM bertindak sebagai institusi utama (Lead Institution) manakala UUM sebagai penganjur bersama (Co-organiser), melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan, promosi dan penilaian program.

“Kerjasama ini diyakini mampu memperluas jaringan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti, serta memberi impak positif kepada peserta dan komuniti akademik secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Roshima Said turut menyampaikan penghargaan kepada UUM atas sokongan padu dalam menjayakan INDELIB 2025, yang disifatkan sebagai bukti kukuh sinergi antara dua institusi pendidikan tinggi awam negara.

Beliau menjelaskan bahawa program ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk sarjana, penyelidik dan pelajar dalam bidang sains maklumat dan perpustakaan, dengan membawa tema “Enabling Knowledge-Driven Communities through Intelligent Technology”.

“INDELIB bukan sahaja mencetuskan inovasi dan kreativiti dalam bidang sosial dan teknologi, malah menjadi platform penting untuk penyelidik, inovator dan pelajar mempersembahkan idea serta reka bentuk berwawasan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap agar MoA ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi strategik pada masa akan datang.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM; Prof. Madya Dr. Mohd Rizaimy Shaharudin, Timbalan Rektor (Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti & Alumni) UiTM Kedah; serta Ketua Pustakawan UUM, Prof. Dr. Che Azlan Taib bersama barisan pegawai kanan kedua-dua universiti.

 

Disedikan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil (Jabatan Komunikasi Korporat)

News Archive
Skip to content