UUM TEGASKAN INTEGRITI, KUALITI DALAM LANDSKAP PENERBITAN BERIMPAK TINGGI

PSB ONLINE, 12 Februari 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menekankan kepentingan kualiti, impak, dan integriti akademik sebagai tunjang utama dalam penerbitan. Penegasan ini dibuat melalui program ‘Guide To Publish In High Impact Journal And The Threat Of Predatory Journals’ yang berlangsung pada 12 Februari 2026, jam 10.30 pagi, di Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM.

Program ini menampilkan Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin, Profesor Kehormat dari SOE UUM, yang menyoroti bahawa penerbitan artikel perlu bergerak daripada matlamat kuantiti kepada sumbangan ilmu yang mampu mengubah amalan dan mempengaruhi polisi kerajaan.

Kriteria dan Etika Penerbitan Berimpak Tinggi

Prof. Dr. Tengku Faekah menjelaskan bahawa penerbitan berimpak adalah kritikal untuk kelangsungan kerjaya akademik, didorong oleh keperluan ranking global, sitasi, geran, dan pemenuhan KPI negara seperti MyRA dan SETARA.

Beliau menggariskan bahawa penerbitan berkualiti tinggi dikenal pasti melalui:

  • Metrik Jurnal: Faktor Impak, CiteScore, dan Kuartil SCImago (Q1-Q4).
  • Kredibiliti Scholarly: Memerlukan metodologi yang ketat, keaslian mekanisme, dan sumbangan teoretikal yang kukuh. Penyelidikan berimpak rendah tidak mampu menghasilkan penulisan berimpak tinggi.
  • Etika Manuskrip: Penekanan diberikan untuk mengelakkan fabrikasi data, plagiarisme, dan “gift authorship”. Selain itu, Kecerdasan Buatan (AI) harus digunakan sebagai alat bantuan sahaja, bukan sebagai pengarang.

Ancaman Serius Jurnal Predatori

Amaran serius turut diberikan mengenai ancaman sindiket jurnal predatori yang berpotensi merosakkan reputasi akademik. Jurnal-jurnal ini mudah dikenal pasti melalui ciri-ciri (Red Flags) seperti:

  • Proses Pantas: Menjanjikan penerimaan artikel dalam masa yang singkat (seperti 3 hari) tanpa proses peer-review yang sah.
  • Penyasaran Agresif: Menghantar e-mel spam yang memuji-muji penulis secara melampau.
  • Ketidaktelusan: Yuran APC (Article Processing Charge) yang tersembunyi dan kewujudan lembaga editor yang tidak dikenali atau palsu.

Kesan buruk terjerumus kepada jurnal predatori adalah meluas, termasuk risiko 60% artikel mendapat sifar sitasi, mencemarkan CV penulis, dan data yang diterbitkan tidak boleh ditarik balik atau diterbitkan semula di tempat yang sah, selain pembaziran dana awam dan kerosakan reputasi institusi.

Justeru, penyelidik disarankan mengamalkan langkah verifikasi “THINK. CHECK. SUBMIT.” secara ketat. Ini termasuk mengesahkan status indexing jurnal secara langsung dalam pangkalan data utama (Scopus, Web of Science, PubMed) dan menyemak status Open Access dalam Directory of Open Access Journals (DOAJ), serta mengkaji artikel dalam isu lepas untuk menilai kualiti.

Program ini menyimpulkan bahawa penekanan harus sentiasa diberikan kepada kualiti dan integriti bagi memastikan ilmu pengetahuan yang disumbangkan mampu mentransformasikan masyarakat.

Disediakan oleh: Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content