PSB ONLINE: 14 Mei 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan Muzium Pengurusan Universiti telah melaksanakan inisiatif memperkasakan komuniti setempat menerusi Program USR-KTP di Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Perlis.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang ini bertujuan untuk mentransformasikan Pusat Sumber Sekolah (PSS) ke arah pusat sumber digital selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Fokus utama program ini adalah menangani permohonan pihak sekolah untuk menaiktaraf sistem pengurusan buku daripada kaedah manual kepada sistem berkomputer yang lebih efisien.
Antara pengisian utama program termasuklah:
Pemasangan Sistem SLiMS: Memasang Senayan Library Management System (SLiMS) yang merupakan sistem sumber terbuka untuk pengurusan perpustakaan.
Latihan Kepakaran: Memberi latihan teknikal dan penerangan mengenai kaedah penggunaan sistem kepada guru-guru pusat sumber bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pinjaman dan pemulangan buku.
Perkongsian Ilmu: Taklimat berkaitan Dewey Decimal Classification (DDC) bagi memantapkan kemahiran kepustakawanan dalam kalangan warga sekolah.
Objektif utama kolaborasi ini adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan PSS, memupuk budaya celik teknologi maklumat dalam kalangan guru, serta menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar melalui sistem yang lebih sistematik. Menurut wakil projek, Nur Darina Khairil Anwar, “Transformasi digital bukan sekadar menukar sistem manual kepada komputer, tetapi ia adalah jambatan yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan komuniti demi melahirkan generasi celik teknologi yang cintakan ilmu.”
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik UUM di bawah Teras 3: Pencapaian Penglibatan Komuniti Dan Industri Yang Mampan.
Selain memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti, inisiatif ini juga mendokong nilai IHSAN dalam kerangka Malaysia MADANI dengan menunjukkan keprihatinan universiti terhadap pembangunan ilmu di peringkat sekolah.
Program yang melibatkan pelajar dan guru ini dilaksanakan secara bersemuka tanpa melibatkan sebarang peruntukan kewangan daripada pihak universiti, namun memberikan impak yang signifikan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.
Melalui kerjasama ini, UUM berharap dapat terus menjadi medium promosi ilmu yang berkesan selain membina jaringan kerjasama yang kuat dan berterusan dengan masyarakat umum.
Disediakan oleh: Nur Darina Khairil Anwar
Gambar oleh: Nur Darina Khairil Anwar