PSB Online: 11 Jun 2026 — Satu sesi perkongsian buku “Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan telah dianjurkan dengan pengisian ilmiah yang meneliti realiti kehidupan seorang seniman melalui pendekatan sastera yang mendalam.
Pelajar latihan industri, Cik Nurul Najieha Khairul Fauzi, tampil sebagai pembicara dalam sesi ini dengan mengupas kandungan buku, khususnya melalui watak utama, Pak Hassan. Beliau menjelaskan bahawa watak tersebut melambangkan perjuangan seorang seniman yang berhadapan konflik dalaman, kesunyian serta pencarian makna hidup di penghujung usia.
Menurut beliau, karya ini menyerlahkan keindahan gaya bahasa dan penggunaan simbolisme yang mencerminkan perjalanan emosi serta pemikiran seorang seniman. Antara petikan penting yang dikongsikan ialah, “Kehidupan seorang seniman bukan hanya tentang berkarya, tetapi juga tentang perjuangan memahami diri dan realiti sekeliling.”
Selain itu, karya ini turut mengetengahkan beberapa nilai moral yang signifikan, antaranya ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup, keikhlasan dalam menghasilkan karya serta kepentingan melakukan refleksi diri. Watak Pak Hassan digambarkan sebagai individu yang tetap kuat dan tabah walaupun berdepan kesunyian serta keuzuran, sekali gus memberi pengajaran tentang ketahanan jiwa dan keinsafan.
Di samping itu, karya ini juga menekankan kepentingan menghargai seni dan sastera sebagai medium untuk menyampaikan pemikiran serta pengalaman hidup. Nilai kemanusiaan yang diketengahkan menjadikan karya ini relevan dalam membentuk kesedaran dan pemikiran kritis masyarakat.
Secara keseluruhannya, sesi perkongsian ini berjaya memberi pendedahan yang ringkas namun padat kepada warga PSB mengenai isi, mesej dan nilai moral yang terkandung dalam karya tersebut, di samping memupuk minat terhadap penghayatan sastera tempatan.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Abdul Hadi Taib