PSB ONLINE: 3 Ogos 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila dua warganya, Muhammad Alif bin Mohd Saidi dan Nurul Hidayati binti Yusri, berjaya meraih Hadiah Saguhati dalam Pertandingan Poster sempena Konvensyen ILTIZAM 2026 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah (MAS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama UUM sebagai rakan strategik dan menjadi platform penting dalam memperkasa agenda reformasi sektor awam negara.
Pengiktirafan yang diterima membuktikan keupayaan warga PSB menghasilkan bahan komunikasi visual yang kreatif, informatif dan berimpak dalam menyampaikan mesej berkaitan kecekapan, akauntabiliti serta reformasi perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi Konvensyen ILTIZAM 2026. Konvensyen berkenaan menghimpunkan penjawat awam, ahli akademik, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju reformasi pentadbiran negara.
Pertandingan poster yang diadakan sebagai salah satu pengisian konvensyen bertujuan menggalakkan penyertaan kreatif dalam menyokong usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memperluas pemahaman mengenai pelaksanaan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).
Kejayaan Muhammad Alif dan Nurul Hidayati meraih hadiah saguhati dalam pertandingan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Perpustakaan Sultanah Bahiyah, malah mencerminkan komitmen warga UUM dalam menyumbang idea serta pendekatan kreatif yang mendukung transformasi sektor awam. Pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada warga universiti untuk terus memperkukuh budaya kecemerlangan, kreativiti dan inovasi dalam pelbagai bidang.
Tahniah diucapkan kepada Muhammad Alif bin Mohd Saidi dan Nurul Hidayati binti Yusri atas pencapaian membanggakan ini serta atas kejayaan mengharumkan nama Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Universiti Utara Malaysia.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Muhammad Alif Mohd Saidi