Penerbit Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei telah mengadakan lawatan muhibbah ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 11 April 2019 yang lalu. Delegasi ini telah disambut dan diiring oleh Cik Azniza Bt Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan dari Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat, PSB pada jam 10.45 pagi. Lawatan bermula dengan sesi penerangan ringkas berkenaan sejarah PSB, perkhidmatan dan kemudahan di PSB, Professor’s Corner dan Pameran Sasterawan Negara yang sedang berlangsung di Aras 2 Bangunan Utama, PSB. Seramai 6 orang telah menyertai lawatan ini yang diketuai oleh Puan Julia Bt Radin.
Fokus utama lawatan ini adalah untuk mempelajari teknik penggunaan perisian “Turnitin” kerana sebagai penerbit di UNISSA, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan keaslian naskhah penulisan akademik yang diterima sebelum diterbitkan demi untuk menjaga integriti dan imej organisasi. “Turnitin” adalah sebuah perisian yang digunakan untuk membantu penulis meningkatkan mutu penulisan akademik seperti tesis, disertasi, atau kertas projek melalui kaedah semakan persamaan (similarity cheking) dengan data teks yang ada di dalam pangkalan data tersebut.
Taklimat ringkas tersebut telah diadakan di Kaunter Information Desk dan telah disampaikan oleh Cik Nor Allia Askandar, Pustakawan daripada Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat. Setelah selesai sesi taklimat, delegasi tersebut telah dibawa melawat prasarana di sekitar Bangunan Tambahan PSB seperti Academic Commons, Post Graduate Commons, Makmal Komputer , Koleksi Umum di Aras 1 dan juga Koleksi Tesis di Aras 3.
Sebelum lawatan tamat, pihak UNISSA berharap agar lawatan seperti ini dapat diteruskan lagi untuk tujuan perkongsian ilmu dan bertukar pandangan dan mereka turut menjemput dan berbesar hati jika delegasi PSB sudi membuat lawatan balas ke Brunei di masa hadapan. Lawatan ini telah berakhir pada jam 12.00 tengahari.
Disediakan dan gambar oleh : Azniza Ahmad