30 PENGGUNA PALING AKTIF TERIMA ANUGERAH PENGHARGAAN PENGGUNA PERPUSTAKAAN 2014

Bersempena Majlis Perasmian Pesta Buku Utara 2015 yang telah berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 23 Mac yang lalu, ianya merupakan satu peluang terbaik buat PSB untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada 30 orang pengguna yang paling aktif menggunakan perkhidmatan PSB sepanjang tahun 2014. Penganugerahan ini bertujuan menjalinkan hubungan baik di antara pengguna dengan PSB dan secara tidak langsung untuk menarik minat pengguna menggunakan perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan.

3 kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Pengguna E-Resources Paling Aktif, Kategori Peminjam Buku Terbanyak, dan Kategori Pengunjung ke Perpustakaan Paling Aktif. Bagi Kategori Pengguna E-Resources Paling Aktif, seramai 18 orang pengguna yang telah diberi penganugerahan dan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM 200 beserta sijil. Pemenang-pemenang ini merupakan kakitangan akademik, pelajar pasca siswazah dan ijazah pertama.

Manakala bagi Kategori Peminjam Buku Terbanyak dan Kategori Pengunjung ke Perpustakaan Paling Aktif, pemenang tempat pertama masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 300 beserta sijil, tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 200 beserta sijil, dan wang tunai sebanyak RM 100 beserta sijil diberikan kepada pemenang tempat ketiga. Penerima anugerah ini juga terdiri daripada kalangan pelajar pasca siswazah dan pelajar ijazah pertama.

Anugerah telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Paduka Abdul Rahman Ibrahim, yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah UUM. Dengan adanya penganugerahan seperti ini, diharap ianya dapat memberi perangsang dan semangat kepada semua pengguna PSB untuk menggunakan perkhidmatan di PSB dengan secara menyeluruh terutamanya dalam proses pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Selain itu, majlis juga turut dihadiri oleh, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, penerima SEA Write Award, Dr. Ram Al-Jaffri Saad, Pengarah UUM Press dan En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan.

Dalam mendokong hasrat universiti, PSB akan terus berusaha dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang dapat memberikan manfaat kepada setiap pengguna PSB.

51total visits,1visits today