PSB ONLINE, 7 Mei 2026 – Program Bicara Muzium bertajuk “Keris Melayu Sebagai Karya Seni: Estetika, Falsafah dan Martabat” yang disampaikan oleh Dr. Maulana Al-Fin Che Man baru-baru ini telah berjaya membongkar rahsia di balik kehebatan senjata warisan Melayu. Majlis yang berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) ini bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya melihat keris melampaui fungsi fizikalnya semata-mata.
Dalam kupasannya, Dr. Maulana menegaskan bahawa keris merupakan sebuah naskhah agung yang menyimpan jati diri Melayu yang unik. Jati diri ini merangkumi elemen adat, bahasa, budaya, dan agama yang menjadi teras keperibadian sesuatu bangsa. Beliau menjelaskan bahawa selagi keris difahami sebagai satu cabang ilmu dan warisan, selagi itulah martabat bangsa akan terus terpelihara.
Salah satu pengisian utama adalah pembahagian tamadun Melayu kepada beberapa kluster warna, di mana keris menduduki tempat istimewa dalam Kluster Merah sebagai instrumen pesenjataan dan pertahanan diri. Beliau menekankan bahawa keris dikategorikan sebagai senjata pendek yang mempunyai kaitan rapat dengan seni silat Melayu yang unik dan tidak sama dengan bangsa lain.
Menariknya, Dr. Maulana turut menyentuh aspek rekaan atau design keris yang sering kali disalahertikan sebagai hiasan kosong. Beliau menjelaskan bahawa setiap garis, ukiran, dan bentuk pada keris sebenarnya mempunyai makna, fungsi, dan falsafahnya yang tersendiri. Ini termasuklah penggunaan motif daripada alam semula jadi seperti Pokok Ketumbit dan Pokok Bayam Peraksi yang menghiasi komponen keris.
Selain itu, beliau memperincikan kepelbagaian hulu keris seperti Tajong Bangsa Agong, Tajong Indera, dan Coteng yang melambangkan status serta identiti pemakainya. Keindahan ini turut merangkumi seni pertukangan logam yang melibatkan bahan berharga seperti emas dan perak, membuktikan ketelitian orang Melayu dalam aspek ekonomi dan seni kraf.
Dari sudut falsafah, Dr. Maulana menghuraikan bahawa keris berkait rapat dengan Kluster Kuning yang menyentuh soal adab, adat, dan bahasa. Penggunaan kiasan dalam keris mencerminkan pemikiran masyarakat Melayu yang tinggi. Malah, tujuh jenis “ukuran” atau rasa dalam senjata Melayu seperti Sepegang, Senafas, dan Serasa menunjukkan adanya hubungan spiritual antara pemilik dan senjatanya.
Beliau juga tidak menafikan kewujudan ilmu-ilmu hikmah dalam pembuatan keris, termasuk “ilmu pelembut besi” yang digunakan oleh para empu. Hal ini membuktikan bahawa pembuatan sebilah keris melibatkan gabungan kepakaran fizikal dan kekuatan ilmu batin bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai pelindung nyawa dan maruah.
Sebagai penutup, beliau memetik serangkap pantun yang mengingatkan bahawa “apa guna keris di pinggang, jika tidak berani mati”. Pesanan ini membawa maksud yang mendalam bahawa estetika keris haruslah seiring dengan keberanian pahlawan dalam membela kedaulatan negara dan agama. Program ini diakhiri dengan harapan agar khazanah ini terus dihargai sebagai simbol intelektual bangsa Melayu.
Disediakan oleh: Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail