BAKAL ANJUR MESYUARAT AGUNG KE 22, MAJLIS PERPISAHAN SERTA JAMUAN RAYA PSB

11 Julai 2018 – Badan Kebajikan Dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), telah mengadakan Mesyuarat Agung kali ke-22, bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB pada jam 8.30 pagi.

Mesyuarat pada kali ini memfokuskan kepada sesi pelaporan aktiviti dan kewangan BAKAL sepanjang tahun pentadbiran. Ianya telah dipengerusikan oleh YM. Ku Azmi bin Ku Ibrahim dan di kesempatan ini, semua ahli mengambil peluang bertanya dan memberi pendapat untuk memantapkan lagi aktiviti serta kewangan BAKAL. Mesyuarat ini telah berakhir dengan lancar dan diteruskan pula dengan Majlis Perpisahan.

Majlis perpisahan turut diadakan pada tarikh ini bagi meraikan persaraan 2 orang staf PSB iaitu En. Abu Bakar Mat Safar (Penolong Pendaftar Kanan) dan En. Husni Ismail (Pembantu Perpustakaan Kanan) yang telah bersara pilihan pada tahun ini. Sedikit ucapan perpisahan telah disampaikan oleh En. Husni Ismail yang melahirkan rasa terima kasih dan mohon maaf beliau andai ada kesalahan di sepanjang perkhidmatan beliau di PSB. Ketika berucap, beliau kelihatan agak sebak menahan kesedihan kerana akan meninggalkan PSB setelah sekian lama berkhidmat. Di akhir majlis,   satu sesi penyampaian cenderamata perpisahan telah disempurnakan oleh En. Muhammad Mazlan Jalla (Timbalan Ketua Pustakawan).

Sejurus selepas itu, semua warga PSB dijemput meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri yang turut diadakan pada hari yang sama. Bersamaan 27 Syawal 1439H, pihak BAKAL mengambil peluang ini untuk meraikan syawal yang bakal berakhir dengan mengadakan jamuan ini kerana ianya mampu mengeratkan silaturrahim sesama staf. Majlis turut menjemput warga UPSB yang berkhidmat di PSB untuk sama-sama menikmati juadah yang disediakan. Semua yang hadir berasa teruja serta gembira menikmati hidangan di dalam suasana hari raya di samping bersalaman serta bermaaf-maafan sesama mereka.

Apabila ditanya mengenai kelewatan mengadakan Mesyuarat Agung kali ini, Pengerusi BAKAL iaitu En. Suparman Sukri berkata, “Mesyuarat Agung ini lewat diadakan dan dicantumkan dengan majlis perpisahan serta jamuan raya untuk ahli BAKAL di bulan Syawal bagi menjimatkan perbelanjaan di samping mengeratkan hubungan di antara ahli”. Ulasnya lagi, “ia dapat memupuk tradisi dalam mengeratkan silaturrahim antara kakitangan di samping menikmati juadah seperti nasi berlauk, lemang, ketupat, laksa dan pelbagai hidangan lain”.

Majlis sebegini amat baik sekali diadakan dalam mengeratkan hubungan antara warga PSB, kerana hakikatnya kita semua berada di dalam satu bangunan, namun terpisah dek kerana bertugas di bahagian yang berbeza dan ianya agak sedikit membataskan pergaulan sesama kita. Oleh itu, dengan wujudkan majlis seperti ini, maka semangat kemesraan akan terjalin dengan lebih kuat.

Disediakan oleh : Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

20total visits,2visits today