TAKLIMAT MS 9001 : 2015 BANTU PSB BERSEDIA MENGHADAPI AUDIT

9 Julai 2018 – Sebagai persediaan menghadapi audit dalaman Universiti Utara Malaysia (UUM), yang dijangka pada 29 Julai 2018 nanti, satu taklimat mengenai Garis Panduan terbaru iaitu MS ISO 9001 : 2015 telah diadakan di Auditorium 2  Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Taklimat ini merupakan anjuran Jawatankuasa Pemandu Kualiti (JQJ), PSB.

Penerangan mengenai Garis Panduan ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Che Azlan, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM. Beliau merupakan seorang yang tidak asing lagi buat warga PSB kerana dahulunya pernah berkhidmat sebagai Pustakawan di PSB serta sememangnya diketahui kepakarannya dalam bidang pengurusan kualiti.

Menurut PM. Dr. Che Azlan, taklimat ini lebih kepada memberi pendedahan dan kesedaran mengenai perubahan Garis Panduan yang lama iaitu dari MS 9001 : 2008 kepada yang baharu iaitu MS ISO 9001 : 2015 dimana ISO 9001:2008 mengandungi lapan klausa sahaja manakala MS ISO 9001:2015 mengandungi sepuluh klausa. Menurutnya lagi, elemen penting dalam Garis Panduan yang baharu ini adalah yang berkaitan  dengan perancangan strategik, kepimpinan dan pengurusan  risiko.

Melihat kepada penerangan sepuluh klausa di dalam Garis Panduan MS ISO 9001:2015, PM. Dr. Che Azlan lebih menekankan kepentingan pemahaman Klausa 4 iaitu konteks organisasi di mana PSB perlu mengetahui cabaran dalaman dan luaran yang boleh mengganggu-gugat kebolehan organisasi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Klausa ini juga menuntut organisasi untuk menentukan risiko dalam setiap proses yang terlibat secara dalaman seterusnya mengukur darjah risiko tersebut untuk memastikan operasi organisasi sentiasa berjalan lancar. Sementara itu pula, menyentuh pada Klausa 5 (kepimpinan) pula, beliau turut menyatakan bahawa Klausa ini menjelaskan bahawa tidak akan wujud lagi keperluan organisasi khasnya PSB untuk melantik wakil pengurusan kerana semua staf adalah pemimpin dan boleh diaudit oleh auditor.

Di akhir bicara, bagi tujuan meningkatkan kesedaran di kalangan warga PSB, semua warga disaran untuk mencari dan menyemak  semua dokumen ISO di atas talian dengan satu sesi ‘hands on’ telah diadakan dengan bimbingan penceramah.

Taklimat ini diakhiri dengan sesi soal jawab serta penyampaian cenderamata oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Encik Muhamad Mazlan Jalla kepada penceramah.

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar : Mohd Fuzi  Ismail  dan Mazyana Hashim

69total visits,2visits today