BENGKEL LITERASI MAKLUMAT BANTU STAF HADAPI PENGGUNA KAUNTER

PSB Online: Satu Bengkel Literasi Maklumat anjuran Unit Latihan dan Kualiti telah diadakan  bermula 29 Jun 2020 sehingga 1 Julai 2020 bertempat di Makmal Komputer 2, Bangunan Tambahan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB),

Perkhidmatan kaunter adalah merupakan servis utama Unit Perkhidmatan Pelanggan, oleh yang demikian antara objektif utama bengkel ini diadakan adalah  untuk memberi pendedahan asas serta menambah ilmu pengetahuan petugas kaunter mengenai servis dan perkhidmatan Perpustakaan ketika mereka bertugas di kaunter. Ini serba sedikit dapat membantu pengguna ketika berurusan di kaunter.

Bengkel tersebut telah diadakan selama 3 hari di mana ianya telah melibatkan 3 kumpulan peserta yang berlainan. Untuk hari pertama, fasilitator yang bertanggungjawab adalah Cik Mazyana Hashim iaitu Penolong Ketua Pustakawan juga merangkap Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna, manakala Cik Nor Alia Askandar, Pustakawan dan Pn. Fadzilah Hussin, Pustawakan masing-masing juga di bawah bahagian  yang sama adalah bertanggungjawab pada sesi hari kedua dan ketiga. Di dalam bengkel ini, peserta telah didedahkan mengenai perkhidmatan dan servis yang popular di laman web perpustakaan seperti capaian dan akses kepada halaman e-resources, e-theses, kertas soalan peperiksaan, pangkalan data yang dilanggan, rujukan bibliografi , pangkalan data Scopus dan Web of Science dan lain-lain lagi info yang berguna.

Sepanjang bengkel berlangsung, setiap kumpulan peserta turut dimuatkan satu sesi bersama fasilitator En. Suparman Sukri, Pustakawan dari Bahagian Arkib Universiti. Di dalam sesi ini, kesemua peserta berpeluang mempelajari tatacara pengendalian mesin membaca bahan-bahan seperti Microfilm dan Microfiche. Umum mengetahui bahawa bahan-bahan ini adalah merupakan bahan lama yang amat jarang sekali dimohon oleh pengguna. Walaubagaimanapun, bahan-bahan ini masih menjadi koleksi perpustakaan kerana nilai maklumat serta sejarah yang ada padanya.

Semoga dengan berakhirnya bengkel ini, semua staf di Unit Perkhidmatan Pelanggan dapat menjalankan tugasan dengan lebih baik dan berupaya membantu pengguna mendapatkan bahan yang diperlukan dengan segera.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Unit Latihan dan Kualiti & Noraini Alias

Share :