CERAMAH PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU : ALAH BISA TEGAL BIASA

PSB Online – Malaysia kini telah memasuki fasa ke lima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 31 Ogos 2020. Dalam  mengekang  penularan pandemik COVID -19 ini, masyarakat perlu  bergerak ke arah pengamalan norma baharu yang disesuaikan dalam pekerjaan dan kehidupan seharian. Untuk sesebuah komuniti bergerak ke arah itu, inisiatif promosi kesihatan perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk pihak universiti sendiri.

Sehubungan dengan  itu, pada 12 Ogos 2020  satu ceramah norma baharu dalam pekerjaan dan kehidupan telah diadakan di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada pukul 3.00 petang. Ceramah ini adalah inisiatif anjuran Unit Latihan dan Kulaiti, PSB dengan kerjasama  Jabatan Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Kesihatan  Universiti  (PKU), UUM  dan Kesatuan Kakitangan  (KESKA), UUM. Acara ini juga  turut disiarkan secara langsung melalui  platform Facebook PSB.

Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr. Adi Azhar Bin Abdul Razak Pengarah PKU UUM. Menurut Doktor Adi, “Usaha membudayakan norma baharu di kalangan kakitangan universiti adalah tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita. Semua pihak perlu memainkan peranan  mematuhi  semua  Prosedur Operasi Standard  (SOP) yang diperkenalkan kerajaan untuk memastikan negara kita bebas virus  merbahaya ini.”

Doktor Adi juga menjelaskan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini kerajaaan telah melancarkan kempen pembudayaan norma baharu dalam komuniti. Budaya ini memberi penekanan kepada  4 teras  strategi iaitu  kawalan sempadan, kawalan pergerakkan, penjarakan fizikal  dan perlindungan diri. Pembudayaan norma baharu dalam komuniti perlu diambil berat oleh setiap  individu, keluarga  dan komuniti bagi mencegah penularan COVID-19 dalam masyarakat. Kerajaan juga  turut memberi penekanan terhadap pendekatan utama  melalui  CAPP iaitu cegah dan didik, amal, patuh dan pantau untuk  membentengi  dan melindungi rakyat Malaysia dari jangkitan COVID-19 ini.

Selain itu, Dr. Adi juga menyeru semua kakitangan UUM agar sentiasa berdisiplin dan istiqamah mengamalkan budaya norma baharu  dalam aspek  perlindungan diri, iaitu menggunakan aplikasi MySejahtera,  sentiasa mengisi UUM CODSA walaupun pada hujung minggu ataupun ketika bercuti,  sentiasa mengawasi  penjarakan fizikal  di tempat awam ataupun di pejabat, wajib memakai  topeng pelitup muka ketika berada di dalam kampus , menjaga kebersihan  diri dengan kerap mencuci tangan  dan segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala.

Ceramah ini berakhir pada pukul 4.00 petang dengan sesi soal jawab dari hadirin yang  ada di dalam auditorium dan juga soalan dari pengunjung Facebook. Marilah bersama-sama kita mengamalkan norma baharu dalam urusan seharian agar semua orang dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan sejahtera. Sebagai insan bergelar pekerja khususnya penjawat awam, kita perlu bersedia secara fizikal dan mental mengadaptasi serta mengamalkan norma baharu yang hadir pasca COVID-19 ini

 

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar : Abdul Hadi Mat Taib

Share :