PEMBENTANGAN PROJEK AKHIRI LATIHAN INDUSTRI PELAJAR UITM REMBAU DI PSB

PSB Online –  Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu sesi pembentangan laporan akhir latihan industri oleh pelajar praktikum dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Rembau, Negeri Sembilan. Seramai 3 orang pelajar telah membentangkan laporan  projek masing-masing bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB  pada 28 Julai 2020  jam 9.00 pagi.

Para pelajar Sains  Maklumat Pengurusan Perpustakaan ini  telah menjalani latihan industri di PSB selama 6 bulan  dari  02 Februari hingga 30 Julai  2020. Sesi pembentangan ini  adalah bertujuan untuk menilai kemampuan mereka mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari dengan mencipta atau melakukan nilai tambah kepada sesuatu perkara berkaitan dengan bidang pengkhususan mereka. Menerusi projek ini , mereka berpeluang untuk mempraktik kemahiran dan pengetahuan teori yang dipelajari sebagai sumbangan kepada PSB.  Sesi pembentangan dimulai oleh Cik  Aida Yusniza Binti Yosuf  dengan projeknya bertajuk “Libguides”. Projek ini adalah di bawah seliaan Puan Fadzillah Hussin iaitu Pustakawan dari Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Khidmat Pengguna, PSB. “Libguides” adalah merupakan sebuah panduan pencarian maklumat tambahan  di pautan  laman sesawang  PSB ia menawarkan kemudahan  pencarian selain daripada WEBOPAC sedia ada  dan lebih fokus kepada bidang pengajian yang ditawarkan oleh UUM. “Libguides” juga disertakan dengan ruangan sembang bersama pegawai penghubung PSB (liaison officer)  untuk berkomunikasi antara pengguna  dan  pustakawan PSB sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan.

Pembentang kedua adalah Cik Norazlina Abd Jalil yang membentangkan projek beliau bertajuk “Integrated School Library System (SPBS)”. Projek ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengurusan  Pusat Sumber Sekolah. Tambah beliau, SPBS  mengaplikasikan perisisan sistem terbuka sedia ada iaitu Sistem Perpustakaan Bersepadu KOHA. Ianya menggunakan 3 modul utama KOHA iaitu perolehan, pengkatalogan dan sirkulasi untuk mengelola bahan perpustakaan dengan berkesan. Penyelia  projek ini ialah Puan Zuraidah Binti Darus  dari Unit Sistem Integrasi Perpustakaan , Bahagian sistem Maklumat PSB.

Manakala pembentang terakhir adalah Nurul Ellina Md Rusli Shanarat. Beliau telah membentangkan mengenai sistem School Online Library Collection (SOLC) dan penyelia projek ini adalah Encik Norhardi Saad dari Unit Perpustakaan Pintar, Bahagian  Sistem Maklumat PSB. SOLC adalah  sistem yang memberi tumpuan kepada satu pusat pengajian  universiti, di mana semua bahan pengajaran seperti video, bahan rujukan khusus dan bahan rujukan tambahan akan disimpan dan ianya boleh diakses secara atas talian pada bila-bila masa.  Sistem ini bakal memberi kemudahan kepada para  pelajar untuk mengakses bahan-bahan pengajaran oleh pensyarah mengikut kursus  masing-masing. Semua bahan berkenaan boleh disemak sebagai sumber pembelajaran kendiri sebelum atau semasa sesi pembelajaran subjek berkenaan.

Turut hadir memeriahkan sesi pembentangan kali ini ialah Ketua Pustakawan iaitu Encik Saleh Hudin Mustaffa, Timbalan Ketua Pustakawan, Encik Razak Siamin, para Penolong Ketua Pustakawan dan  Pustakawan PSB. Ketua pustakawan turut secara aktif memberi pandangan, panduan dan komentar terhadap  semua projek yang masih dalam pembangunan itu untuk ruang penambahbaikan dan kemajuan di masa hadapan.

Sesi pembentangan ini berakhir pada jam 11.45 pagi  dengan majlis penyampaian cenderamata kepada semua pembentang diikuti dengan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Buat adik-adik pelajar UiTM, semoga  latihan industri di PSB ketika  musim pandemik COVID-19 ini, banyak meninggalkan memori manis sebagai bekalan untuk  melangkah masuk ke dunia pekerjaan  sebenar. Semoga mereka mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang dalam kerjaya pilihan  masing masing.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Abdul Hadi Talib

Share :