CERAMAH RAMADAN SIRI 2 : “ISTIMEWANYA RAMADHAN”

15 Mei 2019 – Satu ceramah bertajuk “Istimewanya Ramadan” telah dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bertempat di Auditorium 2, PSB. Ceramah ini merupakan siri kedua yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan bagi tahun 2019.

Ceramah ini bermula pada jam 11.00 pagi dan ianya telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Muhamad Amar Bin Mahmad iaitu pensyarah daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUMCAS. Antara intipati ceramah ini adalah mengenai keistimewaan Ramadan yang memberi maksud ketakwaan sebagaimana puasa yang kita jalani dapat meningkatkan “anti virus” di dalam tubuh badan kita.

Tambah beliau lagi, puasa juga dapat merehatkan organ-organ dalaman tubuh badan kita terutamanya organ pencernaan. Selain itu juga, di bulan yang mulia ini, setiap daripada kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan beritighfar supaya dosa-dosa kita akan gugur berkat sifat keampunan yang dimiliki oleh Allah. Kita juga disarankan untuk memperbanyakkan solat sunat taubat secara berterusan supaya mendapat rahmat, murah rezeki serta bersifat tawaduk.

Di akhir bicara, beliau turut menyelit pesanan supaya di dalam kehidupan ini, kita perlu mempunyai agenda supaya kita mempunyai arah dan tujuan dalam menjalani kehidupan seharian ini sehinggalah ke akhir hayat. Beliau juga turut mengajak kita semua untuk terus membaca Al-Quran setiap masa kerana mukjizat daripadanya amat banyak sekali dan pastinya akan mendapat banyak kelebihan kepada siapa yang rajin membacanya.

Ceramah tamat pada jam 1.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :