CERAMAH RAMADHAN “LAILATUL QADAR @ LAILATUL KAMDAR?”

Sempena menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini, Badan Kebajikan Dan Amal (BAKAL) PSB telah menganjurkan satu Ceramah Ramadhan Siri 2 yang bertajuk “Lailatul Qadar @ Lailatul Kamdar?” bertempat di Auditorium Bangunan Baru PSB pada 4 Jun 2018 bersamaan 19 Ramadhan 1439 Hijrah. Yang Berbahagia Ustaz Lutfi Amir Bin Saidin telah dijemput sebagai penceramah pada sesi ini.

Bermula jam 11.00 pagi hingga 12.45 tengahari, beliau telah menyampaikan beberapa pesanan ataupun ingatan kepada kita semua tentang kemuliaan Bulan Ramadhan serta malam yang ditunggu-tunggu setiap kali Ramadhan iaitu Lailatul Qadar. Walaupun dalam jenaka melantunkan ceramah beliau namun setiap peringatan amat berkesan untuk kehidupan kita sebagai Umat Islam. Kita juga diingatkan agar jangan terlalu leka dengan membeli-belah di bulan Ramadhan sehingga meninggalkan amalan-amalan yang sepatutnya dilaksanakan di bulan yang mulia ini.

Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan berdasarkan firman Allah S.W.T:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”

(Surah Ad Dukhan; Ayat 3)

Malam yang penuh dengan keberkatan ini adalah malam Lailatul Qadar dan ini juga menunjukkan keistimewaan malam tersebut. Ramai malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Semoga Ramadhan kali ini menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Marilah kita sama-sama mengaut sebanyak yang mungkin pahala di bulan Ramadhan ini. Amin

Disediakan oleh: Norashikin Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

39total visits,4visits today